YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkesempatan merasmikan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) hari ini berkata negara menekankan isu halal secara menyeluruh dan saksama.
Menurut Perdana Menteri, status halal ini bukan sekadar pensijilan, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab besar yang merangkumi kesihatan, kebersihan, dan maqasid syariah secara menyeluruh.
Potensi perdagangan halal melebihi USD 1 trilion, yang melibatkan bukan sahaja industri makanan tetapi juga kosmetik dan pelbagai produk lain. Malaysia harus terus memperkukuh kedudukannya dalam industri ini, menarik pelaburan, menjana ekonomi umat, serta merapatkan hubungan antarabangsa.
Keupayaan halal negara perlu terus menjadi contoh global, bukan sekadar terkenal dengan pensijilan tetapi juga dengan nilai ekonomi dan kemampanan yang tercerna darinya.
Perdana Menteri turut berkongsi pemerhatian beliau semasa berkunjung ke beberapa negara, termasuk China, Peru dan Brazil yang menonjolkan minat yang mendalam kepada industri halal negara, selain hal pensijilan.
Ini juga merupakan antara matlamat dan budaya yang beliau cuba terapkan semasa mengemudi Jabatan Wilayah sebelum ini kerana aspek halal tidak hanya terhad kepada pensijilan tetapi turut mencakup aspek kebersihan dan kualiti, secara tidak langsung mencambah keyakinan kepada semua, termasuk pelancong-pelancong untuk berbelanja di warung-warung kita, sekaligus menyemarakkan ekonomi tempatan.