AL-ARQAM JEMAAH ISLAMIAH TERBAIK DI DUNIA – DR. RAMALAN YUNUS 

328
SHARES
1.1k
VIEWS

Hari ini Selasa 15 Ogos 2023 pada jam 3.40 pagi telah kembali ke rahmatullah sahabat dan kekanda saya Al Fadzil Ustaz Haji Abdul Halim Abbas, mantan Timbalan Yang DiPertua Yayasan Darul Arqam atau lebih dikenali sebagai Al-Arqam.

Nota sederhana ini adalah sebagai satu tanda penghormatan dan penghargaan dari saya buat Almarhum sebagai seorang pendakwah. Dalam nota ini saya ingin meninjau kembali Al-Arqam sebagai sebuah organisasi dakwah dan sumbangannya kepada dunia Islam dan apa yang boleh kita pelajari dari pengalaman mereka.

Ini kerana Al-Arqam adalah kenderaan kepada perjuangan Almarhum sebagai seorang pendakwah dan seorang ahli strategi. Bagi saya secara peribadi, mengenang Al-Arqam adalah mengenang Almarhum Al Fadzil Ustaz Abdul Halim Abbas.

Ini kerana beliau adalah antara salah seorang pengasas dan juga anggota kumpulan terawal yang menjadi tenaga penggerak dalam Al-Arqam. Ia adalah sebuah organisasi dakwah yang menurut pandangan saya sebagai yang terbaik di dunia.

Ini kerana mereka dapat mengamalkan cara hidup Islam di dalam setiap aspek kehidupan mereka secara berjemaah. Baik dalam aspek Ibadat, munakahat mahupun dalam aspek muamalat.

Berdasarkan pengamatan saya Al-Arqam adalah satu-satunya organisasi Islam yang mampu mengamalkan poligami juga secara berjamaah di dunia ini. Ini adalah sesuatu yang unik dan istimewa serta merupakan ciri khas kepada jemaah Al-Arqam itu sendiri.

Al-Arqam berjaya membentuk satu komuniti yang bebas dari sistem para elit global yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia. Kaedah dan pendekatan dakwah yang lembut dan penuh kasih sayang yang telah digunakan oleh Al-Arqam berjaya memikat perhatian masyarakat khususnya para pelajar di pengajian tinggi.

Al-Arqam adalah jentera di sebalik kebangkitan Islam pada era 70an selain ABIM. Atas dasar itu Al-Arqam begitu dekat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada waktu itu. Sistem pendidikan dan sistem ekonomi mereka dicemburui oleh banyak pihak.

Al-Arqam adalah organisasi pertama yang memperkenalkan istilah dan produk-produk halal di Malaysia. Kini istilah produk halal telah terkenal di seluruh dunia.

Al-Arqam juga merupakan organisasi pertama yang memperkenalkan apa yang dikenali hari ini sebagai Menu Rahmah. Pendekatan konsep Rahmah ini bukan sahaja diaplikasikan di restoran-restoran mereka bahkan dalam semua sektor perniagaan yang mereka ceburi di seluruh dunia.

Namun populariti dan perhatian yang mereka perolehi sama ada dari dalam negara mahupun dari luar negara kepada organisasi ini pada akhirnya mengundang padah. Akibat kepentingan politik pada masa itu maka perancangan licik untuk menjatuhkan dan membinasakan Al-Arqam telah dilaksanakan.

Salah satu faktornya juga mungkin kerana hubungan rapat mereka dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Akibatnya Darul Arqam telah diharamkan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1994.

Namun sayap ekonomi dan entiti korporatnya iaitu Global Ikhwan yang sebelum itu dikenali sebagai Rufaqa terus wujud sehingga ke hari ini malah sudah berkembang ke seluruh dunia.

Global Ikhwan adalah satu-satunya entiti korporat yang telah berjaya membentuk model “community base economy” atau apa yang sedang dipromosikan kini oleh World Economic Forum sebagai “stakeholder capitalism.”

Model ekonomi seperti ini yang diperlukan oleh pihak kerajaan untuk mengisi Wawasan Malaysia Madani. Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan sendiri masih teraba-raba untuk mencari model dan kaedah ekonomi yang terbaik maka adalah wajar model ekonomi Global Ikhwan diberikan perhatian.

Kalau tidak dengan tujuan untuk ‘diarus-perdanakan’ sekurang-kurangnya boleh dijadikan sebagai model alternatif. Pihak kerajaan wajar memberikan peranan kepada Global Ikhwan untuk menjadi pemandu dan peneraju kepada pembangunan ekonomi halal.

Selain dari ekonomi, sistem pendidikan Al-Arqam juga boleh dijadikan model untuk membangunkan cara hidup Islam dalam era Malaysia Madani. Sistem pendidikan Al-Arqam berjaya menerapkan semangat dan nilai-nilai keusahawanan di peringkat anak-anak kecil lagi.

Pasti ramai yang masih ingat dengan anak-anak yang berserban dan berjubah mengetuk pintu rumah untuk menjual majalah, suratkhabar dan pelbagai lagi produk Al-Arqam. Majalah dan suratkhabar mereka menjadi begitu popular pada waktu itu.

Inilah konsep “action learning” yang semakin popular di zaman All Digital yang bakal menggantikan konsep pendidikan arus perdana. Konsep ini akan dapat membebaskan negara dari masalah pengangguran dan hutang pendidikan atau masalah “unemployment and student debt“.

Begitulah serba sedikit yang dapat saya sampaikan mengenai Al Arqam untuk pengetahuan generasi hari ini.

Akhir kalam marilah sama-sama kita mendoakan semoga Allah SWT mengampuni segala dosa-dosa Almarhum dan menempatkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Allahumma Aamiin.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts