ELAK SENTIMEN 3R DEMI PELIHARA PERPADUAN, KEDAULATAN NEGARA

334
SHARES
2k
VIEWS

1. Kemerdekaan selama 66 tahun yang dikecapi negara tidak akan dicapai tanpa adanya elemen perpaduan sesama masyarakat pelbagai kaum yang membentuk Malaysia, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran nasional, mahupun globalisasi.

2. Namun, kehangatan isu 3R (bangsa, agama dan institusi diraja) yang kerap dibawa ke pentas politik negara dilihat berupaya menggugat keharmonian dan kedaulatan tanah air sekiranya tidak dibendung, sekali gus mengancam kedaulatan negara.

3. Memetik laporan Bernama, Felo Kanan Majlis Profesor Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keadaan semasa menyaksikan sentimen 3R berada pada tahap membimbangkan sehingga ada keperluan mendesak untuk mewujudkan perundangan bagi mengawasinya.

4. Beliau berkata serangan yang dilakukan dalam konteks 3R ini, sama ada dalam komunikasi tertutup iaitu hanya dalam kalangan ahli sembang kelompok seperti dalam WhatsApp atau secara terbuka yakni ucapan di khalayak, mempunyai potensi konflik yang tidak terkawal hingga menjadi krisis.

5. Oleh itu, jelasnya, adalah sangat penting untuk melakukan sesuatu perkara serius ketika ini, iaitu penggubalan perundangan yang boleh mencegah penggunaan bahasa sehingga membangkitkan kemarahan.

6. Tambah Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong Teo, penggubalan perundangan itu penting untuk melindungi maruah setiap rakyat khususnya hak asasi manusia yang melarang sebarang penghinaan sesama manusia dan menjaga ketenteraman awam, iaitu tanpa ada rusuhan dan serangan terhadap kumpulan tertentu.

7. Ia dalam masa yang sama juga berupaya mendidik rakyat untuk menghormati pihak lain walaupun berbeza pendapat dan pandangan.

8. Sementara itu, Bernama turut memetik Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed sebagai berkata, kerajaan perlu meneruskan cadangan mewujudkan akta khusus bagi memastikan isu 3R dipelihara serta tidak dijadikan bahan provokasi yang boleh mengundang perpecahan dan menggugat keharmonian negara.

9. Beliau juga menyifatkan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) bagi melindungi Institusi Raja-Raja yang telah dpersetujui Kerajaan sebagai terlalu meluas justeru ia memerlukan satu skop khusus untuk aspek 3R.

10. Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” yang selari dengan tekad dan komitmen kerajaan membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2023.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts