KUKUHKAN PERPADUAN, BERSATU HADAPI CABARAN

97
SHARES
313
VIEWS

1. Berbaki dua minggu lagi, negara bakal menyambut hari kebangsaan yang ke-66 pada 31 Ogos 2023 dengan mengangkat tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, suatu tema yang bertepatan dengan senario politik negara sekali gus mengajak rakyat pelbagai lapisan masyarakat mengukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

2. Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 September akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

3. Laporan Bernama pada 14 Ogos memetik Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis sebagai berkata, mesej tema sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 (HKHM2023) itu jelas melambangkan betapa pentingnya perpaduan dalam memacu pembangunan ekonomi serta mengangkat martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi.

4. Jelasnya lagi, ia penting bagi negara rencam seperti Malaysia untuk bersatu padu kerana kerencaman adalah aset utama negara, maka jika suatu akomodasi mampu dilakukan, penyatuan warga yang rencam akan membawa banyak manfaat kepada negara dalam sektor ekonomi dan sosial.

5. Ia, secara tidak langsung boleh membawa kepada kemajuan ekonomi apabila berlakunya kestabilan dalam negara. Namun, dalam usaha mewujudkan kestabilan ini, rakyat haruslah bersatu padu dan saling membantu, bukanlah sebaliknya.

6. Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim amat tegas dalam soal perpaduan rakyat kerana pada hematnya, kerajaan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini telah berjaya mempertaut kesatuan permuafakatan dan selanjutnya mewujudkan kestabilan politik negara.

7. Tambah beliau, kejayaan itu memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara, keyakinan pelabur domestik dan luar negara serta mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan.

8. Kesepaduan juga membawa maksud kasih sayang sesama rakyat yang membentuk gagasan Malaysia MADANI, justeru bertepatan dengan tema hari kebangsaan pada tahun ini yang jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menekankan nilai saling menghormati dan mementingkan keadilan.

9. Mengambil contoh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) 2023 yang baru sahaja berakhir, rakyat seakan sudah mengerti konsep perpaduan yang dilaungkan oleh Kerajaan Perpaduan dan kepentingannya dalam mencorak pentadbiran yang lebih baik apabila tidak ada provokasi melampau dan beremosi dicetuskan yang boleh menimbulkan ketegangan dan ianya dapat berlangsung dalam keadaan yang harmoni dan aman serta selamat.

10. Akhir kata, perpaduan, bersatu padu serta konsep bantu-membantu perlu dalam usaha negara Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran masa kini, sekali gus membentuk kestabilan politik tanah air.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts