MENYERANG UMNO DAN MCA CARA KIT SIANG UBAH FOKUS RAKYAT
Oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid
11 September 2018
Ekonomi negara sedang merundum, ringgit semakin merosot, kerajaan kehilangan sumber pendapatan, perbalahan antara parti komponen, kelemahan pentadbiran mulai mewarnai Pakatan Harapan.
Justeru mereka menyambut pengumuman bahawa Mahkamah Tinggi Singapura meluluskan perintah pelupusan wang dianggarkan S$15.3 juta (RM45.93 juta) yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB dan/atau anak syarikatnya, iaitu SRC International Sdn. Bhd. sebagai satu kemenangan luar biasa dan bahan untuk membelasah parti komponen Barisan Nasional.
Maka tidak hairanlah hanya beberapa jam selepas berita ini dikeluarkan, supremo DAP, Lim Kit Siang, dengan pantas membuat kenyataan akhbar meminta UMNO, MCA dan PAS harus bertaubat.
Jika dibaca dengan teliti, tidak ada satu barispun dalam berita semasa pembekuan dan juga keputusan Mahkamah Tinggi Singapura seperti yang dilaporkan oleh pihak media pada 10 September 2018 yang mengaitkan Najib Razak atau mana-mana anggota pentadbiran lalu sebagai pemilik wang dan aset tersebut.
Mengapa Kit Siang begitu ghairah untuk mengaitkan skandal kewangan ini dengan BN sedangkan terdapat watak-watak yang lain dalam isu ini seperti Jho Low, termasuklah beberapa nama besar lain yang mempunyai kaitan dalam syarikat antarabangsa.
Walau apa pun yang berlaku Kit Siang tetap cuba membina persepsi pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan PAS sebagai pihak yang dilihat bersalah di mata masyarakat umum kerana parti-parti ini adalah musuh dan ancaman politik kepada anaknya, Lim Guan Eng.
Kit Siang mungkin “puppet master” dalam Pakatan Harapan yang boleh mengarahkan apa sahaja kepada Menteri-Menteri kerajaan.
Kit Siang juga mungkin mempengaruhi Mahathir dalam banyak hal kerana beliaulah yang mengangkat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Namun, UMNO, MCA dan PAS sebagai parti politik yang berpengalaman tidak akan tersentak dengan serangan kebudak-budakan Kit Siang.
DATO’ SERI MAHDZIR KHALID
NAIB PRESIDEN UMNO
Ahli Parlimen Padang Terap