Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyelar tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson kerana tidak diputuskan melalui saluran yang betul.
Beliau yang juga penyandang Ketua Wanita PKR mendakwa langkah tersebut perlu dilakukan secara berbincang untuk mendapatkan sokongan seluruh ahli PKR demi semangat reformasi dan demokrasi.
Mungkin beliau lupa Anwar adalah Bapa Reformasi dan tanpa beliau, reformasi tidak akan pernah wujud di negara ini.
Zuraida juga lupa dengan fakta bahawa reformasi dicetuskan oleh Anwar apabila dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Mahathir Mohamad, orang yang sama melantik Zuraida ke jawatan menteri seperti sekarang.
Ini bermakna tanpa cetusan reformasi 20 tahun dahulu, Zuraida sendiri tidak akan menjadi menteri seperti sekarang. Kini beliau telah selesa dengan jawatan tersebut dan melupakan semua pengorbanan Anwar terhadap PKR.
“Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson.
“Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.”
“Penting untuk semua pimpinan menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan. Saya amat berharap Anwar sendiri akan menyatakan pendirian tentang perkara ini.”
Sidang media pengosongan kerusi parlimen Port Dickson untuk memberi laluan kepada Anwar semalam, disertai calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli, Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution, Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan Naib Presiden Dr. Xavier Jayakumar.