NAZRI AZIZ MELOBI ANWAR UNTUK MENJADI MENTERI SEMULA?

371
SHARES
2.2k
VIEWS

Tindakan luar jangka tetapi tidak mengejutkan apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan hasrat berkempen untuk Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson. Menurut beliau, ia adalah yang terbaik untuk memastikan UMNO kembali ke dalam kerajaan.

Adakah ini tindakan terdesak beliau untuk membuat “come back” dalam kabinet setelah Barisan Nasional tumbang kepada Pakatan Harapan dalam PRU-14 yang lepas dengan memihak kepada kem bakal Perdana Menteri Malaysia kelapan?

Ini kerana umum tahu beliau seorang oportunis dan akan memihak kepada sesiapa yang boleh memberikan manfaat kepadanya.

Walau apapun alasan beliau, Nazri perlu sedar beliau sudah tiada harapan dalam mana jua parti sekalipun kerana jelas beliau akan ditolak oleh penyokong PKR dan UMNO sendiri.

Selain itu, tindakan Nazri ini hanya akan merosakkan reputasi Anwar yang sudah sedia bermasalah kerana “Langkah Port Dickson” itu sendiri mendapat kecaman dari pemimpin PKR dan tentunya Anwar dan PKR akan menjarakkan diri daripada Nazri.

“Saya tidak jangka UMNO akan jadi kerajaan dalam masa terdekat, tapi terdapat pendapat di kalangan Ahli Parlimen UMNO bahawa kita perlu kembali menjadi kerajaan secepat mungkin.

“Satu-satunya cara untuk melakukan perkara itu adalah dengan bekerjasama dengan PKR… Jadi kita perlu tunjuk niat baik jika kita, jika kita ingin jadi kerajaan, biarkan Anwar menang,” katanya.

Nazri tetap bertegas berkempen untuk Anwar walaupun UMNO akan mencabar pemimpin PKR itu di Port Dickson dan beliau sedia berdepan dengan tindakan disiplin atas pendiriannya yang seumpama lalang tersebut.

Nazri juga tidak menolak kemungkinan menubuhkan parti gabungan dengan memberikan contoh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang melakukan perkara itu apabila menukar Perikatan menjadi Barisan Nasional dan menawarkan semua parti pembangkang bergabung dalam satu gabungan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts