Tindakan bekas Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengisytiharkan keluar UMNO hari ini menimbulkan rasa kurang senang dan kecewa dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO sendiri.
Terkini Pemuda UMNO Kelantan mendesak beliau agar melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli berikutan tindakannya itu kerana beliau dipilih oleh penyokong UMNO dan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata beliau kecewa dengan tindakan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan itu yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa.
“Jika betul kenyataan Tok Pa mengisytihar keluar parti, Pemuda UMNO mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Jeli memandangkan beliau dipilih penyokong UMNO dan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.”
“Tok Pa tidak seharusnya melakukan tindakan itu, sebaliknya menggunakan pengalamannya selama 40 tahun sebagai ahli bagi membantu UMNO mendapatkan kembali kepercayaan rakyat.”
Mengulas lanjut, Noor Hariri berkata, beliau masih tidak percaya dengan berita terbabit, memandangkan Mustapa sebelum ini tidak menunjukkan sebarang reaksi, sebaliknya sentiasa positif dengan perancangan yang dibuat Badan Perhubungan UMNO Kelantan setiap kali mesyuarat berlangsung.
“Kebimbangan Tok Pa yang berpandangan bahawa usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar, perlu disuarakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.”
“Beliau sepatutnya menggunakan saluran yang betul, bukannya bertindak secara melulu seperti ini.”
“Kami sangat kecewa tindakan ini kerana tiada perbincangan dengan Badan Perhubungan UMNO negeri.”