Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dikritik netizen kerana didakwa tidak profesional dalam menggalas jawatan itu apabila menyuarakan pandangan peribadi berhubung dua negara yang tidak disukainya dalam laman Twitter.
Kenyataan Saifuddin boleh menimbulkan ketegangan antara negara dan tidak wajar diungkapkan oleh seorang menteri apatah lagi Menteri Luar yang diharapkan paling berdiplomasi di antara menteri-menteri lain.
Tindakan beliau mendapat maklumbalas bekas Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menyelar kenyataan tersebut sebagai tidak wajar dan tidak profesional bagi pegawai tertinggi Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas memberitahu, agak mengejutkan apabila seorang Menteri Luar membuat kenyataan sedemikian, tidak kira sama ada dalam mesyuarat tertutup atau media sosial.
“Saifuddin mungkin berpandangan itu adalah ruang peribadi tetapi perkara itu hampir tidak wujud jika anda merupakan seorang menteri.”
“Beliau perlu sentiasa mendapatkan bimbingan tepat daripada pegawai kanan kementerian sebelum memuat naik status melulu itu, yakinlah para pegawai terlatih dan profesional dalam bidang mereka.”