Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran dalam akaun Twitter beliau hari ini, bimbang dengan ‘trend‘ beberapa pemimpin UMNO yang bertindak keluar parti kebelakangan ini.
Beliau percaya lebih ramai ahli akan meninggalkan UMNO sekiranya parti tersebut masih tiada hala tuju yang jelas.
“Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini adalah titik perubahan untuk parti kita.”
“Jika Perhimpunan Agung tidak berjaya memberi hala tuju yang jelas kepada ahli parti dan rakyat, saya khuatir lebih ramai yang bakal keluar dari UMNO.”
Hantaran Khairy itu sebagai maklum balas kepada laporan seorang lagi ahli UMNO iaitu Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee mengumumkan keluar parti hari ini.
Walaupun ahli UMNO dan rakyat sendiri tidak terkejut dengan tindakan Pengerusi Bukan Eksekutif Permodalan Nasional Berhad tersebut yang kerap ‘menyalak’ selepas PRU-14, seperti yang sering disindir oleh netizen, namun tetap UMNO perlu mempunyai hala tuju yang jelas.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi wajar memainkan peranan dengan lebih proaktif dan mempunyai matlamat jelas berbanding pemimpin lain sekiranya ingin dilihat sebagai seorang pemimpin pembangkang berwibawa dan berkesan.
Sebagai rekod selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU-14 lepas, pembangkang kelihatan masih tidak bersatu dan masing-masing bergerak mengikut cara dan kaedah masing-masing yang pasti kurang memberi kesan untuk menjadi pembangkang yang baik sama ada di luar atau dalam Parlimen.