Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Iran, Hassan Rouhani berbalas ucapan yang dilihat lebih kepada ‘serang-menyerang’ antara mereka pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Trump berikrar mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Teheran manakala Hassan pula menuduh rakan sejawatnya itu sebagai ‘kurang cerdik’.
Trump mendakwa kerajaan Iran yang didakwa terlibat dalam kegiatan rasuah namun memuji Korea Utara dan menegaskan beliau menolak globalisme serta berikrar untuk melindungi kepentingan rakyat AS.
“Barisan kepemimpinan Iran menyebabkan huru-hara, kematian serta kemusnahan. Mereka tidak menghormati kedaulatan dan hak negara-negara jirannya.”
Ucapan Trump tidak mendapat sambutan pemimpin-pemimpin dunia yang tidak senang dengan pandangannya yang menjejaskan hubungan dengan sekutu-sekutunya sendiri.
Selain itu, Trump turut mengkritik kegiatan perdagangan China tetapi tidak menyebut mengenai penglibatan Rusia dalam konflik perang di Syria atau kempen pilihan raya Presiden AS sebelum ini.
Iran pula membidas Trump berhubung keputusan Washington keluar daripada perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015 dengan Iran. Hassan dipetik berkata;
“Menolak multilateralisme bukanlah tanda kuat, sebaliknya dilihat sebagai gejala kurang cerdik atau lemah akal kerana ketidakupayaan dalam memahami dunia yang kompleks dan saling berkait.”
Hassan pada akhir ucapannya menegaskan bahawa Iran menolak peperangan, sekatan, ancaman, dan mengikut semua undang-undang yang sudah ditetapkan.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa semua pemimpin dunia supaya menolak ‘undang-undang paling berkuasa’ yang dilihat merujuk kepada Trump kerana secara jelas beliau tidak bersetuju dengan polisi pentadbiran Trump yang dilihat ingin mengawal semua perkara.
“Ada sesetengah pihak memilih undang-udang paling berkuasa, namun ia tidak dapat melindungi sesiapa pun.”