UTAMAKAN KEMASLAHATAN, KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK DALAM PINDAAN PERLEMBAGAAN KEWARGANEGARAAN

338
SHARES
2k
VIEWS

Saya memuji dan menyokong usaha kerajaan atas tindakan tegasnya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan ibu-ibu Malaysia dapat memberikan kerakyatan automatik kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara seperti mana yang diperuntukkan kepada bapa-bapa Malaysia.

Namun, saya telah terbaca beberapa kenyataan yang dibuat oleh pemegang-pemegang taruh yang telah berbincang dengan kerajaan beberapa hari lepas bahawa kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembangaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b) yang menyatakan “tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini” .

Saya amat bimbang jika cadangan ini diteruskan tanpa mempertimbangkan implikasi keseluruhan penghapusan peruntukan 1(e) tersebut kerana peruntukan ini terpakai kepada kanak-kanak yang telah ditemui dan dianggap terpinggir atau terbuang.

Peruntukan ini bukan sahaja memastikan bahawa kumpulan kanak-kanak ini mendapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal tetapi peruntukan ini juga adalah satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka.

Jika kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, saya melihat implikasi kemudaratan yang lebih besar boleh timbul antaranya penafian hak asasi manusia ke atas mereka yang tidak mencerminkan ihsan, masalah pekerjaan dan penjanaan pendapatan kerana terhalang dengan limitasi pendidikan dan masalah sosial yang boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat yang timbul dari kekecewaan serta persekitaran kanak-kanak ini semasa membesar.

Pengalaman saya bertahun lamanya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengajar saya bahawa menghapuskan perlindungan yang sedia ada terhadap kanak-kanak yang terpinggir dan terbuang ini hanya akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu dan pada masa yang sama menggandakan lagi cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat.

Dalam Islam, kita percaya anak dikurniakan Allah SWT sebagai amanah yang wajib dijaga. Apabila ibu bapa tidak dapat menjalankan amanah itu, maka negara ini berkewajipan untuk memikul tanggungjawab terhadap anak tersebut. Kewajipan ini dimeterai dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Hak Kanak-Kanak, yang mana Malaysia salah satu negara yang telah menandatanganinya.

Saya mendesak dan meletakkan harapan yang tinggi supaya Menteri Dalam Negeri mengkaji semula cadangan-cadangan pindaan yang telah diutarakan agar ia dapat mengangkat prinsip keadilan dan ihsan yang menjadi matlamat asal gesaan pindaan peruntukan berkenaan kewarganegaraan kanak-kanak ini.

Letakkanlah kemaslahatan dan kesejahteraan kanak-kanak ini sebagai keutamaan dalam mencadangkan pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan yang sedang diusahakan kerana siapapun kanak-kanak itu, mereka adalah aset masa depan negara.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA Malaysia)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts