Oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak
28 September 2018
Perhimpunan Agung UMNO 2018
Tahun ini, Perhimpunan Agung UMNO jauh berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Memang, UMNO kini di persimpangan yang cukup menduga kekuatan setiap seorang daripada kita.
Dari satu sudut memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain, ini adalah peluang untuk UMNO bangkit semula dari abu, peluang untuk kita menilai kembali asas perjuangan kita, dan untuk kita mengenal siapa dalam kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama parti untuk kepentingan sendiri.
Meskipun begitu, saya percaya ahli-ahli UMNO, dari serata negara yang datang kali ini, andalah sebenar-benar ahli, andalah yang setia dan betul-betul berpegang kepada perjuangan parti, andalah yang tak akan berganjak dan senantiasa menjunjung panji UMNO, takkan sesekali biarkan ia rebah ke tanah.
Saya pernah sebut sebelum ini, bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan kita, parti UMNO, tidak akan terkubur.
Di Perhimpunan Agung UMNO kali ini, saya berharap kita terus meraikan perbezaan pendapat, kita berdebat, bermusyawarah, menyuarakan pandangan, semuanya tak menjadi masalah, asalkan nawaitu dan matlamatnya adalah serupa, yakni demi kemaslahatan dan kelangsungan parti UMNO yang kita cintai.
Di saat ini, lebih daripada segala-galanya, adalah masa untuk kita bersama-sama, berpadu tenaga, bersatu padu demi UMNO.
Saya yakin UMNO yang dipimpin Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berjaya mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang semula untuk bangsa, agama dan negara.
Kabinet Bayangan yang diumumkan baru-baru ini juga menunjukkan bahawa walaupun kita kini pembangkang, kita mampu mengetengahkan suara dan aspirasi rakyat sebagai agenda nasional dengan bakat, keupayaan dan kewibawaan pemuda dan pemimpin baru dengan sokongan dan dorongan pemimpin berpengalaman.
Sebagai parti yang mendukung agama Islam, saya ajak semua sama-sama kita kembali kepada Al-Quran, lebih-lebih lagi di kala kita dilanda ujian ketika ini.
Ingatlah bahawasanya Al-Quran mengajak kita kepada perpaduan dan bukan perpecahan.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran Ayat 103, mafhumnya;
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam,) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” Wallahu’alam.
Insya-Allah, dengan izin Allah jua, UMNO tidak akan rebah.
Selamat bersidang kepada semua.
(Dipetik melalui laman Facebook beliau)