Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Persidangan Agung UMNO (PAU) malam tadi menasihati ahli dan pemimpin parti itu agar bersabar kerana sedikit masa lagi mereka akan menjadi ‘rebutan’ akibat daripada pergeseran dalaman Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Beliau juga membayangkan PH akan bubar pada bila-bila masa sahaja jika pergeseran tersebut tidak dapat diatasi yang akan mengakibatkan Parlimen tergantung. Jika benar seperti yang beliau jangkakan, maka benarlah pandangan pelbagai pihak bahawa diam Zahid selama ini adalah kerana mengatur langkah strategik demi kelangsungan hidup parti keramat orang Melayu itu dan bukannya kerana tiada hala tuju.
Zahid juga dikatakan bertemu dengan Tun Mahathir bersama beberapa Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk merundingkan kerjasama, seperti yang dikatakan oleh Datuk A. Kadir Jasin, selain daripada ura-ura beliau juga membuat rundingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas ketuanya.
Namun jika benar Tun Mahathir menggunakan cara ugutan untuk mendapatkan Ahli Parlimen UMNO menyertai partinya, Anwar pula wajar menggunakan pendekatan lembut dan berhemah untuk memujuk mereka menyertai kemnya.
Jika Tun Mahathir semakin terdesak tetapi malu memujuk, selain penasihat kelilingnya yang ego, maka beliau menggunakan segala sumbernya yang ada untuk menggertak Ahli Parlimen UMNO, Anwar sebaliknya boleh menguasai “padang permainan” jika bijak menyambut cadangan Kerajaan Perpaduan yang diusahakan Zahid.
Anwar juga sedar dengan usaha licik kem Tun Mahathir yang didalangi oleh Tun Daim Zainuddin dan pasukannya yang berusaha meminggirkan beliau yang sepatutnya dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.
Mereka takut dan bimbang Anwar akan ‘mengejar’ mereka selepas ini kerana selama ini merekalah yang terlibat menjatuhkan dan menganiaya beliau. Mereka menyangkakan Anwar seperti Tun Mahathir yang akan membalas dendam apabila beliau naik kelak, seperti apa yang Tun Mahathir lakukan sekarang di sebalik retorik “rule of law“-nya.
Walaupun Tun Mahathir juga berulang kali mengatakan Anwar adalah penggantinya dan di antara mereka tiada masalah, namun perkara yang sama berlaku ketika tahun 1998 apabila negara menyaksikan Anwar Ibrahim dipecat, diaibkan dan dianiaya sebegitu rupa untuk menghalang beliau menjadi Perdana Menteri.
Pendakwaan kes liwat bertukar kepada salah guna kuasa, demonstrasi menuntut keadilan bertukar menjadi reformasi besar-besaran.
Apa yang disuarakan oleh Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bukanlah telahan semberono ataupun teori beliau semata-mata. Beliau sendiri memerhati dan menemui ‘pattern‘ konspirasi yang digunakan untuk menghalang Anwar menyandang jawatan tersebut.
Sebagai contoh, sudah wujud pelbagai cerita-cerita buruk dan spekulasi mengenai Anwar, sama seperti ‘pattern‘ tahun 1998, yang dikhuatiri oleh Abdullah Sani dan tentunya oleh Anwar juga.
PKR juga menyaksikan wujudnya dua kem utama iaitu Kem Anwar dan Kem Azmin yang semakin terang-terangan menentang Anwar, bahkan isu Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil Port Dickson juga ditentang hebat oleh mereka.
Tidak mungkin dua Menteri iaitu Datuk Seri Mohd. Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin akan mampu taat setia dengan Anwar sekiranya kelak beliau menjadi Perdana Menteri, maka perkara ini hanya menguatkan desas-desus wujudnya dua kem tersebut.
Walau apapun yang berlaku, rakyat sudah semakin mual dan semakin lelah dengan politik yang masih belum reda sejak PRU-14 lepas.
Namun selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menjadi Perdana Menteri, selagi itulah rakyat jangan percaya janji Tun Mahathir akan menyerahkan jawatan tersebut kepada beliau, kerana inilah politik Mahathir dan Daim yang penuh muslihat.
Perebutan kuasa ini hanya akan berhenti apabila salah satu perkara ini berlaku iaitu;
- Sama ada Tun Mahathir menunaikan janjinya untuk Anwar menjadi Perdana Menteri atau,
- Tun Mahathir sendiri menghembuskan nafasnya yang terakhir, sekali gus menghentikan dalang-dalang mencari makan di belakangnya
Rakyat hanya berharap semoga negara tidak lagi dihidangkan dengan “Reformasi versi 2018” yang amat menyusahkan dan memecah-belahkan orang Melayu yang masih belum pulih sehingga kini, yang puncanya direncanakan oleh kem Tun Mahathir.