ADAKAH KEHADIRAN TUN MAHATHIR KE PORT DICKSON SEBENARNYA MIMPI NGERI BUAT ANWAR?

130
SHARES
418
VIEWS

ADAKAH KEHADIRAN TUN MAHATHIR KE PORT DICKSON SEBENARNYA MIMPI NGERI BUAT DATUK SERI ANWAR?

Oleh Anuar Shaari

1. Sebelum ini ada pendedahan dari ahli PKR sendiri yang berulangkali dibuat bahawa Tun Daim dan Tun Mahathir bakal melenyapkan impian DS Anwar sebagai PM ke 8. Semalam, Tun Daim turun ke PD membantu kempen DS Anwar. Esok lusa, “PM in power” pula bakal turun membantu “PM in waiting” dalam kempen PRK PD. Anehnya, bantuan kempen dari 2 tokoh paling berkuasa di Malaysia datang setelah masing-masing menafikan hubungan mereka yang semakin tidak mesra dengan pemimpin anugerah tuhan PKR itu.

2. Apakah kunjungan Tun Mahathir dan Tun Daim ke PD membantu kempen DS Anwar ada udang di sebalik batu? Adalah menjadi rahsia terbuka hubungan Tun Mahathir serta Tun Daim dengan DS Anwar memang tidak baik. Mereka punya pandangan yang berbeda dalam banyak hal dan yang lebih penting, masing-masing punya cita-cita menjadi orang paling berkuasa di Malaysia.

3. Segalanya nampak tenang di permukaan, namun bergelora di dasarnya. Kunjungan Tun Mahathir dan Tun Daim ke PD adalah ‘mimpi ngeri’ buat DS Anwar serta pimpinan PKR yang setia kepada Anwar. Tun Mahathir dan Tun Daim tidak dialu-alukan oleh kumpulan Anwar. Sebaliknya, kumpulan yang tidak sehaluan dengan DS Anwarlah yang bersorak gembira dengan kehadiran Tun Mahathir dengan Tun Daim.

4. Apakah Tun Mahathir dan Tun Daim sengaja turun bersama liabiliti mereka ke PD? Apakah ianya disengajakan apabila heboh diperkatakan kumpulan yang tidak sehaluan dengan Anwar dalam PKR lebih berkiblatkan Tun Mahathir? Tun Mahathir telah membawa drama beliau dengan DS Anwar ke satu peringkat yang lebih atas. DS Anwar tahu itu namun tidak berupaya mengatakan tidak secara terbuka apabila pejabat PM sendiri yang mengumumkan kehadiran PM ke PD!!

5. DS Anwar tahu bahawa kehadiran Tun Mahathir dan Tun Daim sebenarnya tidak menguntungkan dirinya. Kehadiran dua Tun ini bakal mengikat tangan DS Anwar lebih ketat dalam senario politik Malaysia. Tambahan pula Tun Mahathir dan Tun Daim membawa liabiliti bersama mereka. Sementara DS Anwar gigih menjual segala janji manis tentang PD, bayangan Tun Mahathir berkaitan janji-janji yang masih belum tertunai bakal merencatkan janji dan ‘tarian’ DS Anwar di PD.

6. Kunjungan Tun Mahatir ke PD ibarat membunuh 2 ekor burung dengan seketul batu. Langkah pertama dari kunjungan ini adalah untuk melemahkan DS Anwar dalam situasi politik Malaysia. Seperti yang saya katakan awal tadi, kumpulan Azmin tentunya gembira dan bakal mendapat manfaat dari kunjungan Tun Mahathir ke PD. Azmin tentunya bakal mengiringi Tun nanti. Rafizi tiada tempat semasa kunjungan tersebut nanti.

7. Langkah kedua adalah melemahkan PKR dari dalam dengan taktik pecah dan perintah. Sebahagian pimpinan utama PKR bakal berketuakan Tun Mahathir walaupun tetap menjadi ahli PKR. Tun Mahathir bersama Tun Daim telah mengorak langkah dalam permainan catur yang menarik ini. Permainan masih panjang dan perlu langkah berseni bagi menjatuhkan lawan. Askar Tun Mahathir dan DS Anwar bakal bertembung dahulu. Apakah DS Anwar sebenarnya berhadapan dengan askar Tun Mahathir sebagai calon di PD?

Lantas saya teringat adegan dari filem Ali Baba Bujang Lapok, kisah Ibrahim Pendek dengan watak Sarjan Pendek dari kumpulan 40 penyamun. Dadu telah dibaling dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita berkata “Mari kita tengok siapa yang kena”……

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts