PENGHINAAN TERHADAP INSTITUSI KESULTANAN PERAK – Kenyataan Media UMNO Perak

1.5k
SHARES
3.9k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

1. UMNO Perak memandang serius tindakan seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi Kesultanan Perak.

2. Dakwaan Koon mengaitkan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan amalan rasuah pengurniaan darjah kebesaran negeri adalah amat keterlaluan dan dilihat sebagai cubaan untuk meniup api kebencian rakyat terhadap Institusi Raja.

3. Kenyataan terbaharu Koon yang menuduh DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah campur tangan dalam penyingkirannya sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak juga berbaur fitnah dan seolah-olah mencabar kemuliaan Institusi Raja yang selama ini bersikap berkecuali dalam politik.

4. Walaupun umum mengetahui Koon merupakan penyokong kuat dan mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, namun pergelutan politik sesama mereka tidak wajar dijadikan alasan untuk mengheret institusi raja ke kancah politik kepartian.

5. UMNO Perak juga mengingatkan semua pihak bahawa kemenangan parti pilihan mereka dalam pilihan raya tidak menjadi suatu keistimewaan untuk berasa kebal dan berkata apa sahaja apatah lagi sehingga memperlekah dan mencemarkan kredibiliti Institusi Raja.

6. Cukup-cukuplah dengan tindak-tanduk pemimpin PH sebelum ini yang bertindak biadab termasuk berpakaian serba hitam seperti tanda berkabung ketika upacara istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri sehingga mengundang murka DYMM Sultan Perak.

7. Janganlah menjadikannya sebagai ikutan sama ada secara perbuatan atau kata-kata kerana ia tidak mencerminkan sikap warga yang bertanggungjawab dan menghormati kemuliaan Institusi Raja.

DATO SAARANI MOHAMAD

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts