HARUSSANI: MENYANGGAH KEPERLUAN RATIFIKASI ICERD

520
SHARES
3.1k
VIEWS

MENYANGGAH KEPERLUAN RATIFIKASI ICERD

Kenyataan rasmi Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

1. Cadangan Ratifikasi ICERD dalam Malaysia akan menafikan kesepakatan ‘kontrak sosial’ yang sudah lama dipersetujui antara kaum di negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Kesepakatan ‘kontrak sosial’ akhirnya menatijahkan kejayaan setiap kaum dan etnik terhadap peranan masing-masing terhadap kemajuan dalam negara ini. Semangat yang ditonjolkan ini adalah hasil daripada ketinggian dan keluhuran perpaduan kaum yang diikat dan dimeterai dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

2. Peranan Bumiputera Melayu Islam sebagai penduduk asal di negara ini diperakui berasaskan catatan sejarah sebagai satu bangsa yang sentiasa menyanjung tinggi nilai toleransi dan kesantunan bermasyarakat. Di samping itu, sikap menolak diskriminasi terhadap kaum-kaum yang lain dengan menerima dengan hati yang tulus ikhlas kedatangan mereka ke negara ini sebagai bukti layanan yang terhasil daripada nilai dan budi kaum Bumiputera Melayu Islam.

3. Sikap yang dizahirkan ini adalah lahir daripada kesepaduan iman, amal dan adat tradisi ketimuran yang diasuh, disemai dan dididik oleh agama dan nilai budi Melayu supaya menghormati nilai kemanusiaan walaupun berbeda bangsa, kaum, bahasa, budaya dan adat resam

4. Sesuatu yang tidak boleh disangkal bahawa hasil daripada sikap toleransi tersebut, maka adalah wajar kedudukan Agama Islam dan ketuanan Melayu seperti yang telah disepakati terutamanya Perkara 3 (1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipertikaikan dan dicabar kerana ia telah disepakati secara konsensus dan bijaksana oleh para pemimpin terdahulu dengan mengambil kira kepentingan semua kaum. Maka pihak kerajaan seharusnya tidak mempedulikan cadangan dan untuk disahkan (ratified) ICERD ini kerana jika dibiarkan untuk dipolemikkan atas apa jua tujuan akan mengundang perasaan tidak puas hati dan perpecahan yang ketara antara kaum.

5. Oleh yang demikian saya mendesak pihak kerajaan yang dipertanggungjawabkan memelihara amanah ummah ini dapat mempertahankan keluhuran Perlembagaan yang telah disepakati sejak 50 tahun lalu. Adalah menjadi suatu keperluan bagi rakyat dalam negara ini yang telah mengecapi kemakmuran mempertahankan kedaulatan negara ini dari sebarang anasir dalaman dan luaran yang berhasrat mengganggu-gugat keamanan negara ini.

Sekian, terima kasih.

Tan Sri Dr. Haji Harussani Bin Haji Zakaria

Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan

12 November 2018

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts