KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PERKASA MALAYSIA
1. Lanjutan dari pengumuman Kerajaan mengenai penolakan terhadap isu ratifikasi ICERD yang menggembirakan majoriti rakyat Malaysia terutama masyarakat umat Islam, Melayu dan Bumiputera, adalah wajar kerajaan segera memuktamadkan secara resmi mengikut kehendak perundangan.
2. PERKASA mencadang dan menggesa supaya Kerajaan segera mengemukakan USUL DI PARLIMEN yang sedang bersidang sekarang supaya ICERD ditolak oleh Kerajaan secara rasmi dan direkod dalam Hansard Parlimen. Tindakan membawa USUL di Parlimen ini akan menghilangkan keraguan sepenuhnya oleh majoriti rakyat kerana masih ada pihak yang membuat berbagai spekulasi dan andaian bahawa keputusan kerajaan menolak ICERD adalah strategi sementara untuk mengelak Perhimpunan Rakyat pada 8 Disember 2018.
3. Ada yang berpendapat tipu helah ini adalah suatu yang benar berdasarkan banyak pengalaman sebelum ini. Antaranya bagaimana Kerajaan berdolak-dalik terhadap janji Manifesto Pakatan Harapan pada PRU-14.
Dakwaan rakyat bahawa Kerajaan buat “lembu bodoh atau lembu kenyang” sahaja. Sebab itu rakyat tidak yakin selagi sesuatu keputusan jika tidak dibuat mengikut peraturan undang-undang atau SOP yang sepatutnya.
4. Jika Kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan akan membawa USUL tersebut di Parlimen, pihak PERKASA mencadangkan ia dibuat pada sesi Parlimen yang sedang bersidang ketika ini.
5. Jika Kerajaan bersetuju membawa USUL di Parlimen, maka Penganjur Perhimpunan pada 8 Disember 2018 iaitu PAS dan UMNO hendaklah membatalkan rancangan perhimpunan tersebut atas apa nama atau alasan termasuk sebagai Perhimpunan KESYUKURAN.
Jika tetap diteruskan, maka ia mengesahkan mengenai eksploitasi mencari keuntungan politik untuk parti-parti politik berkenaan. Cukuplah menyusahkan rakyat dan bermain dengan sentimen emosi untuk mencari laba politik atas penderitaan rakyat.
Lebih baik fokus kepada isu-isu kos sara hidup rakyat yang semakin terhimpit dan menuntut janji dari PH sebelum PRU-14.
Kegagalan menunaikan janji bukan sahaja berdusta dengan rakyat tetapi BERDOSA BESAR DENGAN ALLAH… Dosanya azab api neraka.
Isu harian rakyat lebih penting termasuk terus bertindak mendesak agar semua pemimpin sama ada dari BN dan PH didakwa atas isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan bukan dibuat secara terpilih di satu pihak. Ini baru dikatakan benar-benar jujur, telus dan pasti mendapat keredhaan Allah.
Secara umum marilah sama-sama kita menolak mana-mana yang dianggap PEMIMPIN TETAPI HIPOKRIT DAN MUNAFIK tanpa mengira dari mana-mana Parti Politik.
Mustahil rakyat masih tidak kenal yang mana hipokrit dan munafik. Kalau katak macam saya orang kenal mustahil rakyat tidak dapat mengenali yang hipokrit dan munafik serta kebanjiran KATAK-KATAK begitu banyak akibat cuaca buruk.
Sebenarnya Malaysia 2 x 5 dan 5 x 2.
Salam kebenaran perjuangan,
Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden Perkasa
24 November 2018
12.00 tengahari