KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PERKASA MENGENAI ISU KUIL MARIAMMAN

916
SHARES
5.3k
VIEWS

1.PERKASA mengutuk kejadian pergaduhan mengenai isu perpindahan Kuil Mariaman pada pagi 26 November yang menyebabkan ada yang cedera termasuk anggota bomba serta banyak kenderaan yang rosak kerana dibakar.

2. Tanpa mengira siapa yang mula mencetuskan pergaduhan ini, siasatan secara telus perlu segera dibuat. Kejadian ini adalah satu isu yang amat serius. Tuduh-menuduh secara semberono tidak memastikan rakyat boleh mendapat kebenaran yang sebenar mengenai punca kejadian.

3. Belumpun mendapat sebarang makumat yang sahih, seorang Menteri secara terbuka telah membuat tuduhan tentang cara polis menangani situasi, yang kononnya sudah bersifat rusuhan. Tuduhan polis lewat tiba dan tidak dapat mengawal keadaan amat tidak bertanggungjawab.

Kenyataan Menteri ini pula telah disokong oleh empat orang Menteri dan seorang Timbalan Menteri dari kaum India.

4. Kenyataan Menteri P. Waytha Moorthy sebagai Menteri Kabinet amat tidak sopan dan mencabar institusi kerajaan terutama yang bersabit dengan anggota polis yang saban hari menjaga keselamatan di dalam negara. Perlu disedari dan diakui bahawa Bangsa Melayulah yang ramai berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

Apakah maksud sebenar bila secara tiba-tiba Menteri ini membuat tuduhan hanya berdasar kepada mendengar laporan sebelah pihak sahaja. Adakah anggota kabinet tidak ada rasa hormat kepada pasukan polis termasuk kepada Menteri KDN dan IGP?

Kenapa tidak bawa perkara ini dulu ke Kabinet dan kemukan apa jua bukti yang sahih dan biar kabinet membuat keputusan kalau tidak percaya pada polis?

5. Siapa yang salah dalam isu kuil ini? Mahkamah sudah buat keputusan mengenai ganti rugi dan pampasan RM1.5 juta bagi tujuan perpindahan. Tidak kira bila kuil itu dibina di tapak itu. Asasnya mahkamah sudah putus hitam putih.

Keengkaran mematuhi keputusan mahkamah adalah juga satu kesalahan jenayah yang berat. Apakah Waytha Moorthy sebagai seorang pengamal undang-undang tidak mengetahui tentang perkara ini?

Mungkinkah kenyataan Menteri ini hanya satu kenyataan politik atau hanya untuk mencari publisi murahan politik sehingga sanggup mencerca pihak keselamatan?

6. Ada dakwaan yang mengatakan pihak pemaju terlibat dengan mengupah kumpulan gangster menceroboh kuil. Tapi pihak pemaju menafikan tuduhan ini dan pasti semua pihak ingin mengetahui kebenarannya?

Walaupun sudah ada keputusan mahkamah dan pampasan tetapi tindakan untuk kuil pindah juga mesti ikut peraturan dan menggunakan agensi perlaksanaan.

Tidak boleh mana-mana pihak bertindak sendiri atau “take the law in their own hands“. Ini juga perbuatan terkutuk yang mesti diambil tindakan jika dakwaan ini didapati benar.

7. Memandangkan isu kuil ini sudah menjadi terlalu serius yang ada bibit-bibit perkauman kerana timbulnya kenyataan-kenyataan gopoh yang tidak bertanggungjawab serta ada kecederaan dan banyak kenderaan dibakar, MAKA PERKASA MENCADANGKAN KERAJAAN HENDAKLAH SEGERA MELANTIK JAWATANKUASA KHAS BEBAS DAN MENGELUARKAN KERTAS PUTIH DALAM TEMPOH 3 BULAN.

Hasil siasatan dan laporan kertas putih, mana-mana pihak yang bersalah mesti dan wajib diambil tindakan sewajarnya. Keenganan pihak kuil berpindah (malah tidak sedikit surau, madrasah dan masjid pernah dirobohkan sebelum ini) bukan satu keistimewaan oleh mana-mana pihak untuk tidak patuh kepada “rule of law“.

Begitu juga dengan tindak-tanduk pihak pemaju serta pihak yang terlibat memukul dan membakar kenderaan awam.

KERAJAAN MESTI TEGAS.

CUKUPLAH DENGAN “POLITIK DIDAHULUKAN” TAPI KENA WAJIB UTAMAKAN KESELAMATAN RAKYAT DAN PERLAKSANAAN ‘RULE OF LAW

Terima Kasih.

Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden PERKASA

27 November 2018

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts