KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PERKASA MENGENAI ISU TABUNG HAJI

173
SHARES
525
VIEWS

Negara Malaysia yang dahulu terkenal gah, ceria dan tidak kalut sangat walaupun ada masalah tertentu  namun kini semakin haru-biru.

Sejak 2008 sampai 2018 ibarat bunyi guruh sana sini buat rakyat menjadi gelisah dan tidak tenteram.

Meletup pula kontroversi Lembaga Tabung Haji atau LTH. Sebuah institusi kemegahan negara yang mendapat pujian dunia.

Apatah lagi tanggungjawab mengurus jemaah menunaikan haji dengan begitu cemerlang.

Akibat daripada tuduh menuduh kerana persengketaan politik, akhirnya yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu.

Nama baik LTH tercemar dan keyakinan penyimpan menjadi gusar. Melayu Islam turut malu tidak kira dari PH atau BN dan PAS.

Semua umat Melayu Islam malu. Saya juga amat malu. Semua bertanggungjawab demi masing-masing mahu menegak benang basah.

Sehingga ke saat ini sukar dibuat kesimpulan siapa yang benar dan siapa yang salah.

Semua membuat kenyataan umum tanpa maklumat terperinci dari semua sudut.

Mendapat kebenaran yang sahih mesti diutamakan berdasarkan tuntutan ajaran Islam dan prinsip-prinsip perakaunan yang berintegriti.

PERKASA mendesak semua pihak berhenti polemik tuduh menuduh yang boleh menggugat LTH dan langkah segera yg terbaik ialah menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat kebenaran yang sebenar dan tepat serta mendapat perakuan untuk penambahbaikan demi masa depan LTH.

Cadangan penubuhan RCI ini dibuat oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Hasan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Tanpa mengambil kira siapa yang mencadang atau dari parti politik mana asalkan jika cadangan itu baik, semua pihak wajar memberi sokongan.

PERKASA merasa DUKACITA kerana cadangan penubuhan RCI bagi isu IMDB sehingga kini tidak menjadi kenyataan. Sebelum PRU-14, parti-parti pembangkang waktu itu turut mendesak penubuhan RCI dan kini sudah menjadi Kerajaan PH tapi senyap senyi sehingga sekarang.

Kenapa?

Kini LTH pula menjadi isu.

Segerakan penubuhan RCI kerana isu LTH ini besar dan kesannya menjadi semakin buruk.

Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran yang sebenarnya demi menegakkan yang haq dan memusnahkan yang batil.

Terima kasih.

Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali

Presiden PERKASA

11 Disember 2018

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts