KENYATAAN TOK MAT HASAN MENGENAI ISU UMNO SABAH

141
SHARES
454
VIEWS

Saya sudah pastinya menerima berita tindakan pemimpin Sabah yang keluar daripada UMNO secara beramai-ramai sebagai perkara yang besar dan memerlukan perhatian.

Akan tetapi, saya berpandangan bahawa semua pihak harus berlapang dada dan menerima keputusan ini dengan terbuka dan rasional. UMNO harus mengambil pendekatan yang positif dalam berhadapan dengan isu ini. UMNO tidak boleh melenting, tidak boleh beremosi secara melulu. Jika itu keputusan dan ketetapan pemimpin UMNO Sabah, UMNO Semenanjung wajar hormati.

Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan wajar dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara suka rela.

Saya menyarankan kepada semua pendukung UMNO untuk terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama. Silaturahim dan perjuangan di antara pemimpin Melayu Semenanjung dan Pemimpin Bumiputera Sabah & Sarawak mesti diteruskan.

Saya yakin, apabila tiba PRU-15 akan datang, sekiranya UMNO di Semenanjung dapat menguasai semula Parlimen-Parlimen Melayu, UMNO boleh bergabung dengan pemimpin Bumiputera Sabah & Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Melayu dan Bumiputera Sabah & Sarawak.

Dengan strategi kerjasama antara parti Melayu Semenanjung dan parti Bumiputra Sabah dan Sarawak ini sahajalah DAP dan pakatan mereka boleh ditewaskan. Malah, saya juga yakin, dengan strategi ini juga pemimpin Bumiputera Sabah & Sarawak tidak akan terkesan lagi dengan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO di Semenanjung.

Pada masa yang sama, kerjasama UMNO dan Pas atas landasan Islam dan Melayu tidak akan menyebabkan kita berpecah dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak.

Saya akui, ada kebenarannya bahawa pendukung UMNO mesti mengelakkan parti ini daripada menjadi semakin kecil dan lemah. Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baru dan kehilangan rakan yang ada. Yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali UMNO akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini.

Kepada semua pemimpin Sabah yang keluar dari UMNO hari ini, saya ucapkan selamat maju jaya dalam perjuangan yang berikutnya.

Terima kasih atas segala sumbangan dan jasa kepada UMNO, kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah, dan kepada negara selama ini.

Dato Seri Haji Mohamad bin Haji Hasan

Timbalan Presiden UMNO

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts