Oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad
12 Disember 2018
Ahli Parlimen (AP) dan ADUN UMNO keluar beramai-ramai dari UMNO dan riuh pula akan ada lagi AP UMNO di Semenanjung yang akan ikut sama sebelum akhir tahun ini.
Yang dijadikan sebab, pucuk pimpinan UMNO tidak ada hala tuju!
Jadi sebaliknya, adakah halatuju Pakatan Harapan itu yang lebih sesuai dengan perjuangan mereka sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat pada PRU-14 yang lalu?
Pelik juga, saya memikirkan pilihan perjuangan mereka ini.
Tentunya pengundi di kawasan yang telah menyokong dan mengundi mereka sehingga menjadi wakil rakyat juga tertanya-tanya adakah tindakan mereka yang meninggalkan parti mempunyai hak itu sebagai seorang wakil rakyat. Itukah hak mereka sejujurnya?
Saya tertanya-tanya keputusan mereka yang melompat itu kerana sudahlah PH tidakpun menghargai janji-janji mereka kepada pengundi walaupun manifesto PH bukan kitab suci. Jadi mengapa pula hala tuju PH lebih baik daripada UMNO?
Sebaliknya, dari tinjauan saya, dalam Dewan Rakyat AP UMNO semakin hari semakin berwibawa sebagai barisan pembangkang. PH pula yang terbukti terkedu sebagai pemerintah, berpusing-pusing dan berdolak dalik dalam banyak perkara.
Dalam soal “rule of law“-pun, jelas nampak penguatkuasaan undang-undangpun memilih bulu. Kalau tidak bersama mereka, boleh dituduh di mahkamah walaupun belum buat siasatan ataupun sudah tidak ada lagi pihak yang mengadu. Tuduhan yang diuar-uarkan dalam media pun boleh berubah bila dihadapkan di mahkamah.
Isu ratifikasi ICERDpun boleh berpatah balik sehingga ratus ribuan tetap turun ke jalanan kerana tidak percaya nanti kerajaan PH tidak berpusing balik sekali lagi bila tengok himpunan tidak sebesar mana.
Ahli-ahli menteri PH tetap berkokok ICERD akan diratifikasikan tahun depan.
Terbaharu kedudukan kewangan Tabung Haji pula dikelirukan olih Menteri Agama PH. Sehingga ada kenalan saya yang baharu sahaja menunaikan fardhu Haji yang termenung seketika memikirkan sama ada ibadah Hajinya dibiayai dengan duit tidak sah.
Kenyataan menteri itu mungkin melibatkan hanya pembayaran hibah kepada penyimpan TH tapi tentunya tampungan TH kepada jemaah haji semenjak 2014 tidak terkecuali dari tuduhan menteri itu. Betul-betul Menteri Agama PH tidak cukup bijaksana!
Itu baru tiga perkara di peringkat kebangsaan. Apa lagi kalau ditengok pengurusan kewangan negara! Sebelum PRU, riuh dengan tuduhan ketirisan perbelanjaan kerajaan BN berjumlah RM28 bilion!
Tengok-tengok, bukan adapun ketirisan yang berlaku tetapi sebaliknya duit Petronas yang dicekau dan aset Khazanah yang dijual!
Pengurusan kewangan negara dan ekonomi negarapun tidak setaraf dengan masa BN mentadbir. Harga sawit dan getah, kedua-dua sumber pendapatan rakyat yang mengundi calon-calon UMNO, juga di paras harga yang merbahaya.
Itupun tidak sama bahaya apabila menteri PH yang jaga hal-hal komoditi itu tidak tahu dan tidak mahu buat sesuatu. Negara pernah hadapi keadaan yang sama dan ada banyak perkara yang boleh dilakukan kerajaan PH. Tapi kalau hati sudah tidak bersama orang luar bandar, kerajaan PH akan biarkan sahaja keadaan itu melarat. Ekonomi bebaslah!
Dalam keadaan kesejahteraan rakyat dan keharmonian hidup rakyat masih terumbang-ambing akibat sikap dan pendekatan kerajaan PH, saya rasa pelik kalau ada wakil rakyat UMNO yang akan meninggalkan UMNO kerana PH ada hala tuju yang lebih sesuai dengan hasrat dan harapan pengundi-pengundi wakil-wakil rakyat UMNO.
Adakah, sebagai contoh, dengan AP dan ADUN UMNO meninggalkan UMNO di Sabah, rakyat Sabah akhirnya akan memperolehi segala aspek perjanjian MA 63 dan pembayaran sepenuhnya royalti minyak seperti dijanjikan?
Sebenarnya, kalau hendak dilaksanakan oleh kerajaan PH, tidak perlu kepada keadaan dua pertiga di Dewan Rakyat atau DUN Sabahpun.
Sebagai seorang wakil rakyat, mahupun di Parlimen atau DUN, sebenar dan sejujurnya, siapa kita ini?
Adakah kita tahu sebenar dan sejujurnya mengapa rakyat mengundi kita dalam PRU yang lalu?
Adakah kita tahu sebenar dan sejujurnya apa hasrat dan harapan rakyat kepada kita?
Adakah kita tahu sebenar dan sejujurnya rakyat kita tidak lagi selesa dengan UMNO sebagai pembangkang dan mereka lebih selesa dengan hala tuju kerajaan PH?
DAP dan PKR tahu jawapan sejujurnya kepada soalan-soalan ini. Kerana itu, mereka tidak setuju dengan kejadian melompat parti ini. PAS pun tidak setuju tetapi mereka baharu sahaja bekerjasama dengan UMNO dan kerana itu, buat masa ini, tidak mengaibkan wakil rakyat yang hendak melompat itu.
Sebagai wakil rakyat, iaitu sebagai pemimpin kepada rakyat, bukankah sepatutnya kita sendiri yang ada hala tuju?
Namun, kepada rakan-rakan saya yang telah melompat dan bakal melompat, saya harap mereka akan berjumpa hala tuju yang mereka mencari-cari semenjak rakyat memilih mereka sebagai wakil dan pemimpin mereka.