Tiada di mana-mana dalam dunia ini yang orang bunuh bomba. Bomba ini bukan askar dan bukan polis, tugas mereka bukannya kombatif, namun mereka adalah penyelamat nyawa orang ramai yang ditimpa malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, banjir dan sebagainya.
Saban kali mereka berkorban bersabung nyawa untuk menyelamatkan orang lain yang mereka tidakpun kenali.
Dan saban kali mereka terkorban nyawa sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain daripada musibah.
Mereka ini adalah hero masyarakat dan tanda bahawa dalam dunia ini masih ada manusia yang berhati murni yang sanggup berkorban untuk orang lain dalam kesusahan.
Sebab itu apabila seorang ahli bomba dibunuh semasa menjalankan tugas, ia bukanlah satu perkara biasa yang boleh diambil ringan atau dilupakan begitu sahaja selepas beberapa hari. Ini bukanlah kes bunuh dan kematian biasa. Kita tidak boleh menerima atau mengambil remeh perkara ini.
Jika kita terima atau ambil remeh perkara ini, maka kita juga terima bahawa kita ini adalah masyarakat yang kejam dan tidak bertamadun. Ini adalah perkara yang amat serius dan membawa implikasi besar. Sebab masyarakat sebegini membawa kadar jenayah yang amat tinggi dan tahap kesusilaan (decency) dan jati diri yang amat rendah. Saya tidak mahu hidup dalam masyarakat sebegini. Ini perlu diubah.
Kita perlu menjadi masyarakat yang tinggi nilai kemanusiaan dan jatidiri supaya anak-anak kita dapat hidup dalam keadaan yang baik dan harmoni di masa hadapan.
Sebab itu untuk memastikan perkara ini tidak berulang, kita perlu membawa semua yang bertanggungjawab ke muka pengadilan untuk diambil tindakan maksimum.
Ini bukan sahaja kepada empat orang penjenayah yang telah memukul arwah Adib sehingga mati, namun juga kepada dalang-dalang yang telah mencetuskan kejadian rusuhan yang menyebabkan kematian arwah Adib tersebut termasuk yang membuat kenyataan-kenyataan hasutan dan perkauman yang mencetuskan rusuhan ini.
Pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri dan Persekutuan juga perlu bertanggungjawab kerana urusan kes perpindahan kuil di USJ tersebut adalah di bawah bidang kuasa mereka.
Mungkin arwah Adib tidak akan dipukul sebegitu rupa di situ sekiranya perkara di atas diuruskan dengan baik dan tertib oleh pihak yang bertanggungjawab.
Oleh itu, saya sebagai rakyat biasa mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat punca sebenar (root cause) yang telah menyebabkan kematian arwah Adib ini.
Dan sementara itu, Menteri-menteri yang bertanggungjawab termasuklah Perdana Menteri sendiri sepatutnya meletakkan jawatan kerana kematian Adib adalah di tangan anda juga.
Oleh Isham Jalil
Presiden Sukarelawan Malaysia
18 Disember 2018
(Dipetik dari laman Facebook beliau)
https://www.facebook.com/1180765013/posts/10215937121599164/