ANGKA 6 DAN 36 BUAT KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

148
SHARES
479
VIEWS

Apa ada dengan angka 6 dan 36 buat kerajaan Pakatan Harapan?

Angka 6 ialah jumlah 6 orang Ahli Parlimen yang telah keluar UMNO diketuai oleh brokernya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bekas Menteri Kabinet Barisan Nasional.

Angka 36 pula ialah jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telah menandatangani satu surat sokongan kononnya untuk berbaiah setia dengan Tun Mahathir Mohamad sekiranya berlaku tindakan undi tidak percaya terhadap Tun Mahathir di Dewan Rakyat.

Menurut Hamzah, melalui senarai 36 nama tersebut, seramai 33 Ahli Parlimen dari parti UMNO, seorang dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan 2 dari parti MIC menandatangani surat sokongan tersebut, yang juga wujud spekulasi sebagai sebuah Akuan Bersumpah (SD).

Jika berlakunya penghijrahan ke parti lain maka akan ada penambahan yang ketara terhadap parti berkenaan walaupun asalnya sekecil 13 kerusi.

Adakah Hishamuddin terlibat?

Tidak dipastikan sama ada Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang juga dikatakan oleh Hamzah terlibat sama, termasuk dalam senarai 36 orang Ahli Parlimen yang telah menandatangani surat akuan tersebut, atau beliau adalah orang yang ke-37.

Ini kerana mesyuarat dikatakan berlangsung di rumah beliau yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR yang juga berbaiah taat setianya kepada Tun Mahathir dan bukan terhadap Presidennya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbul juga spekulasi Azmin akan membawa lari 20 Ahli Parlimen yang setia kepadanya untuk menyertai Bersatu.

Maka apa nilai 6 Ahli Parlimen ini?

Apa nilai 6 Ahli Parlimen bersama Hamzah iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz?

Nilai mereka yang isytihar keluar UMNO ini bergantung pada apa yang kerajaan akan lakukan terhadap mereka.

Walaupun Tun Mahathir mengalu-alukan kemasukan mereka ke dalam partinya namun ia ditentang hebat oleh DAP dan PKR, bak kata DAP, “seumpama mengutip sampah”.

Apapun gelaran yang diberi, DAP kononnya tidak bersetuju kerana rakyat telah menolak UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 yang lalu, namun kini Bersatu ingin mengambil mereka kembali untuk menguatkan partinya yang berasal dari hanya 13 kerusi.

Alasan DAP yang sebenarnya ialah tidak mahu ada parti Melayu lain yang lebih kuat dan besar dari parti chauvinis mereka.

Amanah pula membuka ruang bagi mereka jika hendak bersama mereka walaupun tahu tidak ada sesiapapun yang akan berminat.

6 orang Ahli Parlimen ini tidak bernilai apa-apa sekiranya mereka disiasat dan ditangkap terlebih dahulu.

Ini kerana belum disiasat apapun mereka telah menyerahkan ‘tengkuk’ masing-masing untuk diadili. Bukankah dengan jelas mereka menyatakan ketakutan mereka dan boleh difikirkan mereka mempunyai skandal ataupun rahsia rasuah perniagaan yang ingin disembunyikan.

Tidak mungkin mereka keluar UMNO menyertai Bersatu jika kerana ingin berkuasa kembali kerana hakikatnya tiada sesiapa dalam Pakatan Harapan akan menerima mereka sebagai pemimpin.

Kerusi Parlimen mereka sememangnya bernilai namun jika mereka terbukti melakukan kesalahan semasa mereka dalam kerajaan Barisan Nasional, mereka tetap wajib disiasat terlebih dahulu.

Ketika itu mereka hendak ke mana mencari bantuan? UMNO ditinggalkan tetapi mereka pula dipinggirkan Pakatan Harapan.

Jelas mereka cuba elakkan diri dari disiasat atau cuba menyembunyikan sesuatu.

Maka Kerajaan Pakatan Harapan wajar mengutamakan siasatan mereka terhadap 6 orang Ahli Parlimen ini kerana jelas mereka cuba menyembunyikan sesuatu atau cuba mengelakkan diri dari sesuatu.

Apa yang mereka takutkan sangat kerana jika hanya untuk tunjukkan sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan Pakatan Harapan, tidak perlupun untuk keluar UMNO. Apatah lagi untuk menyertai Bersatu.

Cukup dengan menyatakan sokongan dalam setiap usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kerajaan dalam Parlimen kelak.

Mereka juga dimomokkan dengan keakraban Anwar dan DAP

Kononnya taat setia mereka kepada Tun Mahathir juga berasaskan kepada ingin mengelakkan Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 kerana Anwar akan bersekongkol dan mengikut telunjuk DAP.

Bukankah ketika ini Tun Mahathir sendiri sedang bersekongkol dengan DAP dan bukankah Tun Mahathir sendiri yang melantik pemimpin-pemimpin DAP menjadi Menteri?

Jadi di manakah rasionalnya Anwar akan bersekongkol dengan DAP dalam keadaan DAP itu sendiri  adalah sebahagian dari kerajaan?

Bekas Menteri dan Ahli Parlimen mana akan disiasat selepas ini? 

Majoriti rakyat berfikir, mereka yang paling kuat rasuah dan mempunyai masalah integritilah yang paling cepat akan keluar parti dan melompat masuk Bersatu ataupun mana-mana parti dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Nah, tiba-tiba 6 orang Ahli Parlimen ini menyerahkan diri masing-masing tanpa perlu kerajaan bersusah payah mencari mana satu hendak disiasat terlebih dahulu.

SPRM dan pihak Polis DiRaja Malaysia tentunya tersenyum melihat perkembangan ini. Namun sehingga kini mereka berenam masih seperti biasa, adakah ada perjanjian lain di belakangnya?

Dapat imbuhan atau elak dari disiasat dan ditangkap?

Rakyat dan pemimpin dalam Pakatan Harapan wajar mendesak 6 orang ini disiasat, sama ada menerima imbuhan untuk keluar UMNO atau mengelakkan diri masing-masing dari disiasat dan seterusnya ditangkap.

Pemimpin Pakatan Harapan wajib mendesak Perdana Menteri sehinggalah keenam-enam mereka ini dibuktikan tidak bersalah maka barulah Bersatu boleh menerima mereka, jika tidak maka Tun Mahathir sekali lagi telah mengkhianati rakyat.

Selepas Kerajaan Pakatan Harapan menyelesaikan siasatan terhadap 6 orang Ahli Parlimen ini, seterusnya tumpukan pada baki dalam senarai 36 Ahli Parlimen lainnya.

Tidak perlu bersusah-susah mencari siapa hendak disiasat selepas ini.

Sekadar gambar hiasan
Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts