BERSATU “RUMAH” BAHARU UNTUK ORANG MELAYU

360
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Mohd Puad Zarkashi

30 Disember 2018

Menurut Mahathir “Kalau Melayu tidak sertai BERSATU, ke mana mereka nak pergi? UMNO sudah musnah. Orang Melayu takut dan rasa terancam. Kalau mereka berpecah, mereka tidak boleh dapat hak dan layanan sama di negara ini.

Maaf cakap, memang rasa nak muntah bila baca komen Tun M itu sempena Perhimpunan Agung Tahunan PPBM 2018. Tetapi bolehkah kita mengabaikan begitu sahaja imaginasi beliau?

Dari segi sejarah, parti serpihan tidak boleh hidup lama. Parti asal tetap sukar untuk dimusnahkan. Sama ada UMNO, PAS, MCA, MIC dan DAP semuanya berpengalaman melahirkan parti serpihannya. Oleh kerana PPBM adalah serpihan UMNO, maka apakah PPBM mampu menjadi rumah baharu menggantikan UMNO?

Parti serpihan UMNO yang benar-benar mencabar UMNO ialah Semangat 46. Hampir separuh anggota Kabinet kerajaan menyertai Ku Li dan S46. Ketika itu juga UMNO diharamkan. Tetapi apakah UMNO terkubur? Nampaknya S46 yang terkubur.

Mungkin kali ini berbeza. Buat kali pertama, parti serpihan UMNO iaitu PPBM dapat menumpaskan UMNO melalui pilihanraya. UMNO kalah teruk serta hilang kuasa pusat dan negeri kecuali Pahang dan Perlis. Agaknya itu alasan Tun M mengatakan UMNO sudah musnah dan bahtera yang karam.

Tetapi kemenangan PPBM bukan kemenangan tulen. Ia kemenangan ihsan. Ihsan DAP dan PKR. PPBM cuma menang 13 kerusi. Seperti analisis Invoke Rafizi di PRU ke-14, PH cuma dapat sokongan 30% orang Melayu.

Daripada 30% itu, PKR dapat 31%, PAN dapat 26% dan PPBM cuma dapat 21%. Sumbangan PPBM kepada PH ialah membantu “swing” 10% sokongan orang Melayu daripada UMNO kepada PH.

Tindak tanduk PPBM tidak meyakinkan orang Melayu bahawa PPBM adalah rumah baharu untuk orang Melayu. PPBM dilihat lemah dan tunduk kepada DAP. Orang Melayu lebih takut dan terancam melihat PPBM diperalatkan DAP. Ini dibuktikan kehadiran luar biasa orang Melayu di perhimpunan bantah ICERD.

Kegagalan Tun M untuk mengharamkan UMNO membuktikan UMNO tidak boleh diharamkan secara paksa atau ikut pintu belakang. Sebab itu untuk mengatakan UMNO akan berkubur adalah mimpi di siang hari.

Ada bukti parti yang kalah boleh berkuasa semula. Ini dibuktikan oleh Parti LDP Jepun. Justeru masa depan PPBM sendiri tidak menentu. Nasib mereka ditentukan oleh DAP.

Lagi pun kelahiran PPBM bukan kerana perjuangan Melayu, Islam dan rakyat seperti kelahiran UMNO. Kelahiran PPBM kerana Tun M mahu menyelamatkan politik anaknya Mukriz. Sehebat mana tokoh yang keluar seperti Tok Pa tidak menyebabkan cawangan UMNO di tempat beliau terbubar.

Sebab itu Tun M kena buktikan selepas lapan bulan berapa banyak cawangan UMNO yang terbubar? Kesimpulannya, PPBM hanya sesuai sebagai “rumah baharu” kepada bekas MP dan ADUN UMNO yang kini menjadi gelandangan.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts