- Ucapan Tun M pada perhimpunan PPBM penuh retorik dan asyik mahu menyalahkan UMNO. Kenapa tidak sentuh tentang pemimpin Melayu yang telah diperalat dan diperbodohkan oleh DAP bagi menjayakan agenda politik mereka. Itu lebih hina dan akan tercatat dalam sejarah bangsa dan agama.
- Strategi Tun M dan Muhyiddin Yassin untuk terus menjijikkan UMNO bagi menarik sokongan Melayu kepada PPBM hanya makan diri.
- Majoriti orang Melayu meluat kepada Tun M dan Muhyiddin kerana kegagalan kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan banyak janji dan menggugat kepentingan Islam serta Melayu sebagaimana terbukti dalam banyak isu.
- Yang pasti DAP kini mengaut keuntungan besar dengan percaturan yang licik sementara PPBM sekadar parti kecil menjadi barua walaupun berdegar-degar suaranya.
- Percayalah PPBM tidak akan dapat mengambil alih peranan UMNO yang masih teguh terutama di akar umbi di sebalik pelbagai tekanan, penipuan dan muslihat Tun M untuk memusnahkan UMNO.
- Walaupun beberapa kerat pemimpin UMNO melompat parti dengan cara tidak bermaruah dan dianggap sampah oleh Pakatan Harapan sendiri, akaun UMNO dibekukan dan wang dirampas -UMNO terus menjadi mimpi ngeri buat Tun M. Beliau sebenarnya sedar potensi besar UMNO untuk bangkit yang akan dibuktikan nanti apabila tiba masa penentuan pada PRU-15.
- Lagi kuat UMNO dan pemimpinnya dihina serta dimalukan termasuk pendakwaan terpilih dan berniat jahat yang mencerminkan kezaliman kerajaan Pakatan Harapan, lagi kuat sokongan dan simpati orang Melayu kepada UMNO.
- Kini rakyat makin sedar setelah dapat membuat perbandingan antara kerajaan BN pimpinan UMNO dan kerajaan Pakatan Harapan. Antaranya negara kehilangan puluhan bilion ringgit dalam tempoh enam bulan kerana kelemahan pengurusan kewangan kerajaan angkara Tun M dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
- Siapakah yang mahu bertanggungjawab apatah lagi kerugian sebesar itu tidak pernah terjadi dalam sejarah negara? Kalau di negara Barat, Jepun dan Korea Selatan, pasti pemimpinnya berundur sebagai mengambil tanggungjawab. Bagaimana pula tindakan merompak pada siang hari aset-aset strategik kepentingan Melayu antaranya milik Tabung Haji, Khazanah dan PNB?
- Dengan segala kepincangan dan keserabutan yang berpaksikan budaya penipuan dan konspirasi, kepercayaan rakyat kepada kerajaan merudum terutama ke atas Tun M dan Guan Eng.
- Realitinya hari ini rakyat makin mengeluh, kecewa dan marah dengan harga barang dan perkhidmatan yang melonjak, puluhan ribu hilang pekerjaan, keperitan hidup pekebun, peneroka, petani dan nelayan serta pelbagai lagi.
- Semua itu tidak berlaku pada era kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang terbukti lebih prihatin dan lebih bijak mengurus ekonomi rakyat serta negara.
- Memandangkan populariti Najib makin meningkat malah berbanding Tun M pada waktu ini, sudah jelas UMNO dan pemimpinnya masih menjadi sandaran.
- Terbukti UMNO belum musnah bahkan kini menjadi talian hayat kepada PPBM yang agresif melobi pemimpin UMNO melompat parti agar PPBM tidak ditelan oleh PKR dan DAP. Ucapan Tun M dan Muhyiddin pada perhimpunan PPBM juga asyik menyentuh UMNO . Agak aneh perhimpunan PPBM tetapi terus dibayangi UMNO seperti tidur kedua-dua pemimpin itu asyik diganggu mimpi negeri pengaruh UMNO.
- Selepas enam bulan ternyata UMNO tidak terburai di sebalik apa sahaja yang dilakukan oleh Tun M dan PPBM. Maka janganlah bermimpi PPBM akan mengambilalih peranan UMNO untuk menjadi pelindung kepada umat Islam dan Melayu. Ha ha ha, ketawakan sahaja.
- UMNO tidak bersekongkol apatah lagi tunduk kepada parti paling rasis iaitu DAP. Itulah perbezaan ketara antara UMNO dan PPBM. Dasar- dasar untuk kepentingan bumiputera telah terhakis begitu ketara seperti pelantikan ke jawatan strategik.
- Dalam isu semasa, kerajaan diterajui PPBM hanya mengikut rentak DAP. Ini termasuklah isu pembunuhan anggota Bomba, Mohamad Adib angkara perusuh ekstremis Hindu. Kerajaan Tun M gagal memberikan pembelaan sewajarnya ke atas nasib Adib sebaliknya tunduk kepada tekanan kaum minoriti. Sehingga hari ini suspek-suspek pembunuhan itu masih terus bebas tanpa sebarang tindakan.
- Tun M dan Muhyiddin juga hanya mampu memerhatikan kerakusan DAP termasuk membiarkan Guan Eng manipulasi kewangan negara untuk kepentingannya dan DAP. Tiada keberanian untuk menghentikan kerakusan itu. Apakah itu melindungi kepentingan Islam dan Melayu atau bersekongkol dengan DAP memudaratkan segala-galanya?
- Selagi Tun M dan PPBM menjadi alat DAP selagi itulah PPBM hanya dilihat sebagai parti kecil yang kuasanya bersifat sementara. Hayatnya dijangka tidak lama dan bersedialah pula untuk dihukum oleh orang Melayu.
- Penghinaan pasti dibalas dengan penghinaan, itulah pusingan roda kehidupan. Begitu juga dengan pemimpin PPBM seperti Tun M dan Muhyiddin yang berjaya diangkat hasil pengkhianatan ke atas agama dan bangsanya sendiri, lambat laun akan menerima padahnya. Kini ramai menghitung hari untuk melihat semua itu berlaku, yang bibit-bibit ke arah itu sudah dirasakan.
Oleh Johari Jamaluddin
30 Disember 2018