Oleh Anuar Shaari
10 Januari 2019
1. Bukanlah Pakatan namanya kalau tak angkat kroni. Dulu Pakatan Rakyat, kini Pakatan Harapan. Nama saja yang berubah, tapi isinya tetap sama.
2. Terkini, anak Ketua PKR Kedah dilantik sebagai Ketua AMK Kedah. Datuk Johari Abdul dilantik sebagai Ketua PKR Kedah oleh Presiden PKR walaupun Johari kalah semasa pertandingan ketua cabang PKR Sungai Petani. Anaknya pula, Mohd Firdaus Johari dilantik mengetuai AMK Kedah walaupun hanya menang tipis sebagai Ketua AMK cabang Jerai.
3. Johari kalah dan meraih undi paling sedikit dari 3 orang calon semasa merebut jawatan tersebut. Akan tetapi dilantik sebagai ketua negeri. Yang menang dan menduduki tempat ke-2 tidak dilantik menduduki apa-apa jawatan di peringkat negeri. Tidak pula timbul isu inklusif oleh Presiden PKR. Semuanya kerana Presiden ada kuasa melantik dan boleh melantik siapa yang beliau mahu!
Yang penting lantik pilihan aku!
4. Anak Johari – Mohd Firdaus Johari pula menang tipis sebagai ketua AMK Jerai setelah pemilihan semula diadakan akibat kekecohan semasa pemilihan. Bertentangan dengan kes Johari, kali ini anaknya yang menang tipis dilantik sebagai ketua AMK negeri oleh Ketua AMK Pusat yang pro kumpulan Presiden. Yang kalah tidak pula dilantik ke apa-apa jawatan. Sekali lagi, semuanya adalah tentang kuasa.
Yang berkuasa boleh melantik siapa sahaja yang mereka mahu!
Pelantikan oleh DS Anwar dibantah secara terbuka oleh ahli-ahli PKR sendiri. Lebih buruk lagi, ianya diketuai sendiri oleh timbalan Anwar di dalam PKR yang mengetuai fraksi sendiri di dalam PKR.
5. Berbeza dengan situasi di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir dilihat tenang mengawal partinya. Rata-rata ahli PPBM juga tenang menerima apa sahaja hala tuju parti yang dibawa oleh Pengerusi PPBM. Walaupun PPBM telah dua kali mengadakan mesyuarat agung, pemilihan pemimpin di peringkat tertinggi dan bahagian masih tidak diadakan. Mungkin yang lebih utama bagi perwakilan PPBM adalah cenderahati beg berjenama dan penganugerahan projek-projek kerajaan kepada ketua-ketua bahagian PPBM yang masih berstatus penaja!
6. Bukannya PPBM tidak mementingkan kroni, malahan PPBM dilihat ‘super’ kroni daripada PKR! Bapa mengetuai parti dengan jawatan Pengerusi manakala anak pula sebagai Timbalan Presiden. Jawatan Timbalan Presiden (anak) itu dilantik oleh Majlis Tertinggi PPBM yang dipengerusikan oleh Pengerusi parti (bapa). Namun PPBM tidak kecoh dan hampir tiada langsung suara-suara yang mempertikai keputusan Pengerusi PPBM walaupun sudah menjadi rahsia umum Presiden PPBM hanya sekadar mengisi jawatan tersebut lebih-lebih kesihatan beliau yang agak merosot kebelakangan ini.
7. Inilah kehebatan Tun Mahathir berbanding DS Anwar. Walaupun pernah dilabel diktator, yang penting parti dilihat terkawal dan Tun Mahathir mengawal parti mengikut kehendaknya. Manakala DS Anwar pula, menonjolkan dirinya konon seorang demokrat serta meraikan pelbagai perbezaan namun dilihat gagal mengawal parti sendiri.
Jelas, PPBM dan PKR sebagai komponen PH amat tebal amalan kroni. Dalam konteks mengawal ini, Tun Mahathir nyata lebih hebat dari Anwar. Namun jika Tun Mahathir dibandingkan dengan Lim Kit Siang dan DAP, agaknya siapa pula lebih hebat?
Kita sambung di artikel lain nanti…