Mohd Puad Zarkashi
10 Januari 2019
Apa maksudnya Que Sera Sera? “Apa nak jadi jadilah”. Itu respond Anwar dalam temubual terbaru beliau bersama akhbar The Hindu, India bila ditanya mengenai perjanjian tempoh peralihan kuasa antara dia dengan Tun M.
Jawapan seperti itu boleh membawa makna Anwar mula resah, kecewa, tidak yakin, tidak sabar, akan mula melawan dan tidak percaya pada Mahathir. Itulah yang tersirat apabila Nurul Izzah meletak jawatan VP PKR.
Bersediakah Mahathir meninggalkan jawatan PM dalam keadaan banyak perkara kucar-kacir, janji yang tidak ditunaikan dan yang tersirat masih terancam? Memahami Mahathir, tidak mungkin dia akan meninggalkan jawatan tanpa legasi agung seperti mana dia menjadi PM selama 22 tahun.
Anwar mendedahkan, tempoh peralihan kuasa yang dijanjikan ialah tidak melebihi “2 tahun”. Dua tahun? Biasanya respond orang putih dalam perkara mengejutkan ialah, “Are you kidding?”
Apapun kita bersimpati apabila Anwar tanpa sembunyi mengatakan, keputusan bekerjasama dengan Mahathir adalah “sukar dan menyakitkan” bukan sahaja kepada beliau tetapi isteri dan anak-anaknya.
Apa nak jadi, jadilah. Tetapi sudah banyak yang terjadi di zaman Mahathir termasuk Yang di-Pertuan Agung terpaksa meletak jawatan. Semoga rakyat dan negara tidak terheret sama jika berlaku konflik besar antara mereka berdua.
Itu bahayanya “Apa nak jadi, jadilah”.