APA SUDAH JADI DENGAN UTUSAN?

404
SHARES
2.4k
VIEWS

Penulis rencana Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil sekali lagi menampakkan sikap bias dan kurang matang dalam analisisnya.

Sebelum ini beliau pernah memuji-muji pemimpin Pakatan Harapan tanpa sedikitpun berani menegur.

Sedangkan di media sosial, rata-rata pelbagai pihak dan rakyat jauh lantang mengkritik dengan lautan isu kelemahan dan kepincangan kerajaan Pakatan Harapan.

Zulkifli Jalil juga pernah mengangkat pemimpin DAP, mendiang Karpal Singh sebagai demokrat tulen sehingga menjadi bahan lawak dan senda ramai pembaca.

Di mana hilang suara keberanian Utusan dan apakah Utusan kini galak membodek pemimpin Pakatan Harapan?

Terbaru (21 Januari 2019) Zulkifli seakan mempertahankan perbuatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas menari-nari sakan pada satu majlis.

Asas kepada tulisan beliau ialah mengambil pandangan Tan Sri Rais Yatim yang kini menjadi salah seorang pemimpin Pakatan Harapan.

Rais cuba mewajarkan bahawa jika perbuatan seumpama itu baru sekali berlaku ia bukanlah isu besar.

Semudah itu Rais cuba mengendurkan isu tersebut sedangkan hakikatnya perbuatan menari-nari pada majlis terbuka telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Begitu juga etika ke atas Peguam Negara yang harus dilihat terjaga integritinya pada setiap masa dan semua keadaan.

Hairannya mengapa Rais sanggup mengambil jurus pandangan itu tetapi ia tidaklah mengejutkan kerana Rais kini jadi alat Pakatan Harapan.

Rais juga sengaja lupa bahawa pada majlis itu Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara, turut menari bersama aktivis Pakatan Harapan seperti S. Ambiga dan Siti Kasim.

Apakah Rais jika hadir sama pada majlis itu akan turut terkinja-kinja menari bersama mereka?

Pada saya pandangan Rais ini sama sekali terpesong dan tiada nilai integriti.

Itu belum menyentuh sentimen rakyat yang masih mempersoalkan mengapa Peguam Negara sehingga hari ini masih belum membuat pendakwaan ke atas pembunuh anggota Bomba Adib yang diserang dengan kejam oleh ekstremis Hindu.

Begitu juga dengan banyak kes pendakwaan secara selektif, dokumen pendakwaan tidak lengkap dan pengguguran kes rasuah para pemimpin Pakatan Harapan termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Sebagai penulis akhbar arus perdana, Zulkifli sepatutnya turut memuatkan sama pandangan berbeza.

Pandangan yang mempersoalkan dan mengkritik Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara menari-nari itu lebih meluas paparannya di media sosial.

Itulah gelombangnya di media sosial dalam isu tersebut tetapi malangnya Utusan Malaysia cuba menutup suara sebenar rakyat.

Antaranya gesaan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar agar Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara diusulkan untuk dipecat mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Apa sudah jadi dengan Utusan Malaysia?

Saya juga perhatikan Utusan Malaysia begitu taksub kepada Rais dan beliau selalu dijadikan rujukan sedangkan Rais tidak lagi relevan.

Harapan saya sebagai pembaca adalah mahu melihat Utusan Malaysia lebih kritis dan bijak dalam olahan rencana dan analisisnya.

Sepatutnya Utusan Malaysia mesti reflektif kepada pemikiran dan suara rakyat, bukannya terikut dan takut dengan pemimpin pemimpin Pakatan Harapan.

Nasihat saya kepada Zulkifli belajarlah lagi dalam menulis rencana sambil menjaga jati diri akhbar anda.

Oleh Fakhrul Mohd. Salihin

21 Januari 2019

(Dihantar melalui Whatsapp)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts