RAKYAT JOHOR WAJAR BERSYUKUR MEMPUNYAI MENTERI BESAR YANG BIJAKSANA

659
SHARES
2k
VIEWS

Keadaan di Pasir Gudang sebenarnya tidaklah segenting dan segawat seperti yang digambarkan oleh pihak media sejak ia mula dilaporkan berlaku pada 7 Mac lalu, sehingga perlu kepada pengisytiharan darurat.

Mungkin juga pelbagai video, mesej dan gambar yang ditularkan melalui Whatsapp juga separa benar ataupun terlebih digembar-gemburkan oleh masyarakat yang prihatin.

Kebimbangan pelbagai pihak yang menyuarakan perkara ini termasuk NGO, parti-parti pembangkang serta Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim sendiri yang merayu usul darurat diisytiharkan di Pasir Gudang, hanya kerisauan melampau yang dirasai oleh mereka.

Malah kebimbangan dan kemurkaan Sultan Johor yang disuarakannya sebelum ini juga mungkin hanya perasaan biasa sahaja walaupun ia menggambarkan hati budinya yang sentiasa terkesan dengan penderitaan dan kesusahan yang dialami rakyatnya.

Pihak-pihak yang merasakan darurat perlu diisytiharkan ini sewajarnya bertenang dan meneliti fakta-fakta yang ditemui dengan lebih rasional seperti mana bertenang dan rasionalnya Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Beliau lebih rasional berbanding orang lain apatah lagi dibantu dengan nasihat-nasihat mereka di lapangan termasuklah Menteri Kesihatan yang sentiasa berdamping dengan beliau untuk memberikan nasihat tepat dan bersesuaian.

Di sebalik semua 111 buah sekolah di Pasir Gudang yang ditutup kerana terkesan dengan pencemaran tersebut termasuk kawasan sekitarnya terutama kawasan perumahan, keadaan masih terkawal dan mereka yang sakit akan pulih.

Di sebalik berlakunya gelombang kedua dan ketiga yang berlaku kerana kelewatan dan kecuaian kerajaan negeri menangani isu tersebut, rakyat seharusnya bersyukur tiada berlakunya kematian dan tiada yang kritikal seperti kenyataan Menteri Besar yang lebih arif.

Mangsa yang kritikal juga sudah boleh bercakap, yang jelas menunjukkan tiada apa-apa yang serius mengenai pencemaran tersebut, membuktikan kerisauan rakyat hanyalah terjemahan kerisauan melampau selain kerap membuat tanggapan beremosi.

Keprihatinan masyarakat seluruh negara termasuk Sultan Johor tidak perlu dicurahkan beriya terhadap mangsa dan mereka yang terlibat di Pasir Gudang kerana ia hanyalah bersifat sementara yang akan selesai dalam masa seminggu.

Yang kritikal akan keluar wad ICU, yang sakit biasa akan pulih sepenuhnya, manakala yang sihat akan bertambah sihat dan kuat serta boleh mula bersekolah seperti biasa.

Bagi mereka yang tidak terkena pencemaran dan sihat boleh duduk berdiam diri di rumah asalkan tidak membuka pintu serta jangan berada di kawasan terdedah seperti sekolah-sekolah.

Saranan Menteri Besar Johor ini wajar diambil berat oleh semua pihak dan rakyat Johor perlu bersyukur mempunyai Menteri Besar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor yang cerdik dan bijak bertindak sebegini.

Langkah beliau dan kerajaan negeri yang kelihatan cuai dan berlengah menyelesaikan masalah di Pasir Gudang, sebenarnya hanyalah salah satu daripada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengawal bencana pencemaran toksik dengan berkesan.

Malah cara tersebut juga terbukti murah dan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar, sekaligus mendokong aspirasi kerajaan pusat untuk berjimat cermat, harus dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Malaysia memerlukan lebih ramai Menteri Besar seperti beliau dan Menteri-menteri kabinet wajar menjadikan Osman Sapian sebagai contoh, agar dihormati oleh masyarakat.

Tahniah rakyat negeri Johor!

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts