Parti Gerakan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas mengambil kira pelbagai faktor susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu hari ini.
Gerakan akan memainkan peranan sebagai parti bebas dalam blok pembangkang untuk memantau dan mengimbangi kerajaan Pakatan Harapan dan menjadi pembangkang yang konstruktif walaupun setelah meninggalkan UMNO. Sewajarnya Gerakan bersikap membantu merapatkan saf di kalangan parti komponen BN bukannya bertindak keluar, yang dilihat seperti mementingkan parti sendiri. Apatah lagi dengan kekalahan di semua kerusi yang ditandingi iaitu 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN sewajarnya mereka merenung kesilapan diri sendiri.
Dengan pengumuman ini maka di Parlimen kelak akan menyaksikan semua pembangkang akan bergerak atas kapasiti masing-masing kecuali UMNO, MIC dan MCA yang masih kekal bersama. PAS dan Gerakan masing-masing akan bergerak atas kapasiti sendiri selaku pembangkang. Namun diharapkan semua pembangkang kelak akan mampu melaksanakan peranan masing-masing dengan baik walaupun tidak berpengalaman.
Harus diingat, merekalah kuasa pengimbang mewakili rakyat kerana hampir kesemua Menteri yang dilantik dan akan dilantik kelak juga tidak berpengalaman sebagai kerajaan. Rakyat wajar bersikap rasional dan memberi masa untuk masing-masing menyesuaikan diri namun rakyat juga akan menilai mereka kelak.
Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke -14 yang akan bermula pada 16 Julai 2018 tentunya akan menarik perhatian apabila pembangkang Pakatan Harapan berubah kerusi sebagai kerajaan dan kerajaan Barisan Nasional selaku pembangkang. Selain itu, perkara yang akan ditunggu-tunggu ialah siapakah yang akan dilantik sebagai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-timbalan mereka.
Rakyat mengharap seluruh ahli Parlimen yang menang dan dilantik kelak akan melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya tanpa mengira fahaman politik asalkan ia yang terbaik untuk rakyat dengan membawa amanat ‘rakyat didahulukan dan parti dikemudiankan’ bukannya dengan mendahulukan parti yang akan merugikan rakyat.