PERKASA SIMPATI 23 KELUARGA, RUMAH DIARAH ROBOH DI TINOSA, SABAH

491
SHARES
2.5k
VIEWS

CATATAN BERITA UNTUK MEDIA OLEH KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

Oleh Nasrul Ali Hasan

Ketua Penerangan Perkasa Malaysia

24 Mac 2019 | 17 Rejab 1440 (Ahad)

1. Rombongan Perkasa Malaysia diketuai Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali, Presiden Perkasa bersama YDP Perkasa Sabah Dato Rekan Husin, saudara Syed Shahiran Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia, Hj Hamid Sabar, Pengerusi Perkasa Zon 5 Sabah dan beberapa pimpinan Perkasa Sabah ke Sandakan pagi ini sempat menziarahi 23 keluarga yang rumahnya diarah untuk diroboh atas perintah mahkamah di Kampung Tinosa 2, Sandakan, Sabah sejak 19 Mac lalu.

2. Tanah yang asalnya berstatus Native Title (NT) itu kini dimaklumkan telah diubah kepada status Country Lease (CL) di luar pengetahuan penduduk-penduduk. Tanah tersebut difahamkan telah berpindah milik dan dijual beberapa kali kepada orang yang langsung tidak berkenaan dengan penduduk-penduduk di situ tanpa rundingan mahupun diberi sebarang pampasan. Penuntut tanah tersebut memaklumkan tanah itu dibeli daripada orang berbangsa Cina. Keluarga tersebut telahpun tinggal di kawasan tersebut sekitar 22 hingga 30 tahun.

3. Hal Ini merupakan satu penindasan ke atas penduduk. Sepatutnya ada pihak bertanggungjawab termasuk wakil rakyat, kerajaan negeri atau Ketua Menteri Sabah sendiri campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian sebelum keputusan dan perintah mahkamah dikeluarkan. Namun, isu ini dibiar begitu sahaja tanpa diambil berat oleh pemimpin tempatan dan ini merupakan satu kezaliman terhadap rakyat.

4. Kehadiran Perkasa bersama NGO tempatan iaitu Persatuan Kebajikan Generasi Enrekang Sabah melawat hari ini adalah bagi melahirkan rasa simpati kepada lebih 180 orang penghuni yang diusir tanpa diberi ganti tempat tinggal sehingga ada yang terpaksa tidur di tinggalan saki-baki robohan rumah itu kerana tidak ada hala tuju.

5. Oleh itu, Perkasa berharap agar kerajaan negeri dapat campur tangan dan memberi pembelaan kepada mereka yang telah kehilangan rumah ini kerana Sabah merupakan negeri yang besar mempunyai lebihan tanah yang luas melebihi jumlah rakyat. Dengan kekayaan di bumi Sabah ini, hal ini tidak sepatutnya berlaku dan kerajaan negeri Sabah hari ini sebenarnya mampu menangani isu ini dengan meletakkan keutamaan dan kesejahteraan rakyat di tempat yang pertama.

Sekian, terima kasih.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts