Semalam Ahli-ahli Parlimen pembangkang bersuara dalam Parlimen menyoal tindakan kerajaan menandatangani ke arah meratifikasi Statut Rom.
Ahli Parlimen Kepala Batas dan juga bekas Timbalan Menteri Luar Negeri BN, Dato’ Seri Reezal Merican mengatakan bahawa langkah Kerajaan PH untuk meratifikasikan Statut Rom adalah melanggar Perlembagaan dan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong dan perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.
Hujah jawapan daripada Menteri Luar Negeri PH, Dato’ Saifuddin Abdullah adalah:
“Sebelum ini lebih 100 perjanjian antarabangsa telah ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen (oleh itu perjanjian Statut Rom ini pun tidak perlu dibawa ke Parlimen)”, kata Saifuddin.
KOMEN SAYA:
Kepada Menteri Luar PH, walaupun terdapat seratus waima seribupun perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen sebelum ini, ia tidak bermakna itu menjadi sebab (precedence) yang membolehkan perjanjian-perjanjian seterusnya ditandatangani tanpa dibawa ke Parlimen atau tanpa persetujuan Yang Dipertuan Agong.
Ini kerana setiap perjanjian itu adalah berlainan dengan terma-terma dan kesan-kesan serta implikasi yang berlainan.
Hujah Menteri Saifuddin ini seakan-akan hujah budak-budak yang sebegini:
“Sebelum ini sudah berpuluh kali saya janji dengan jiran saya untuk tolong mereka gotong royong tanpa maklumkan ibu dan ayah saya.
Oleh itu kali ini apabila saya janji kepada jiran saya pula untuk beri kunci rumah dan benarkan mereka masuk pada bila-bila masa mereka sukapun saya rasa tak perlulah saya maklumkan ibu dah ayah saya juga.”
Hujah Saifuddin ini amat lemah dan terdesak.
Statut Rom ini ternyata adalah satu perjanjian antarabangsa yang kritikal dan berlainan berbanding perjanjian-perjanjian lain, dan ia memberi implikasi negatif kepada kedaulatan negara.
Sebab itu banyak negara-negara seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Singapura dan Brunei tidak menandatangani atau meratifikasinya.
Buat apa kita pula ingin menjerut diri kita sendiri?
Saya ingin bertanya, apa agenda sebenar Menteri PH dan Kerajaan PH untuk menandatangani Statut Rom ini?
ISHAM JALIL
27 Mac 2019
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/432397754182421/