1. PRK Rantau telah membuka gelanggang secara rasmi mulai Sabtu lepas. Atas kertas, saingan sengit adalah antara BN yang menawarkan Tok Mat Hassan, penyandang kerusi DUN Rantau dan PH yang mempertaruhkan Dr. Streram dari PKR.
2. Calon PH dari PKR bermula dengan langkah kurang meyakinkan. Beliau bukan anak jati Rantau dan muncul sebagai calon payung terjun PH semasa PRU ke-14. Setelah gagal bertanding di DUN Rantau, beliau ‘hilang’ dari Rantau dan hanya kembali semula setelah mahkamah mengisytiharkan kemenangan BN pada PRU ke-14 tidak sah.
3. Kemunculan semula Dr. Streram melobi semula sebagai calon mendapat bantahan dari PKR sendiri. R. Tanggam, Ketua PKR Rembau telah menolak Dr. Streram dan menyifatkan beliau seorang yang ‘tiada’ di hati pengundi DUN Rantau. Ahli Parlimen Segamat dari PKR pula menggambarkan Dr. Streram sebagai tiada integriti, tidak boleh dipercayai serta tidak menepati janji.
4. Ini adalah kenyataan dari rakan- rakan Dr. Streram sendiri yang satu parti dengan beliau. Walaupun khabarnya Ketua PKR Rembau, R. Tanggam telah berpelukan dengan Dr. Streram, Tanggam tidak pernah menarik balik kenyataannya terhadap Dr. Streram. Begitu juga isu tidak membayar wang yang dipinjam dari Ahli Parlimen Segamat, ianya mencalarkan imej Dr. Streram walaupun bayaran telah dilunaskan sebelum pengumuman rasmi calon PKR.
5. PKR juga tidak sekata dalam memilih calon mereka kali ini. Kumpulan pro Azmin mahukan PKR meletakkan seorang calon Melayu di Rantau agar boleh menyaingi Tok Mat Hassan. Anwar Ibrahim menggunakan kuasa veto beliau sebagai Presiden mahukan Dr. Streram sebagai calon. PPBM juga telah bersuara mahukan kerusi Rantau namun Presiden PPBM awal-awal telah mengenepikan kemahuan ahli-ahli PPBM Negeri Sembilan.
6. Sebagai parti kerajaan di Negeri Sembilan, PKR memulakan PRK Rantau dengan langkah ‘tempang’. Langkah PKR dijangka terus tempang dengan kempen yang didominasi oleh Anwar Ibrahim terutamanya di kawasan-kawasan Melayu. Telah timbul cakap-cakap di kalangan ahli PKR sendiri, Anwarkah yang bertanding atau Dr. Streram?
7. Lemah sangatkah Dr. Streram hingga perlu dibayangi Anwar setiap masa? Jika benar, Dr. Streram tidak layak dipilih sebagai ADUN kerana tidak punya kewibawaan sehingga terpaksa bergantung kepada orang lain bagi mendapatkan kepercayaan dari pengundi DUN Rantau.
Maka itu, untuk DUN Rantau, pilihan terbaik adalah mengundi Tok Mat Hassan, seorang calon anak tempatan, mesra pengundi, tahu setiap inci bumi Rantau, berpengalaman dan tidak memerlukan bayangan orang lain bagi mendapatkan kepercayaan pengundi Rantau.