Datuk Seri Anwar bertemu dan memberitahu Lim Guan Eng supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.
Beliau juga berkata bahawa jawatan Menteri Kewangan ini statusnya lebih sensitif dan menyarankan tugasan membongkar tersebut diserahkan kepada pihak yang sewajarnya.
Walaupun teguran Datuk Seri Anwar ini bersifat konstruktif namun dipandang dingin oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengatakan Anwar bukan dalam kerajaan, melalui satu wawancara bersama Channel News Asia.
Lim Guan Eng pula bersikap menerima teguran tersebut namun berkata beliau akan tetap membongkar penyelewengan kerajaan terdahulu yang kemudiannya turut dipertahankan oleh bapanya sendiri iaitu Lim Kit Siang.
Diharapkan ini bukanlah bibit permulaan bagi pihak kerajaan yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir yang memang terkenal dengan kelicikannya sejak dahulu lagi, bagi meminggirkan Datuk Seri Anwar secara perlahan-lahan.
Ini kerana secara logiknya YAB Perdana Menteri tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian yang boleh memberikan persepsi negatif terhadap hubungan beliau dan Datuk Seri Anwar, apatah lagi ia dilakukan ketika wawancara dengan media luar negara.
Adakah beliau berusaha agar dapat memanjangkan tempoh menjadi Perdana Menteri melebihi dua tahun seperti yang dijanjikan sebelum memenangi PRU-14? Namun apabila Pakatan Harapan menang maka segala yang dijanjikan terpaksa dimungkiri kerana sukar dilunaskan termasuk janji bulan bintang Manifesto Pakatan Harapan.
Ini kerana tiada siapa menyangka akan tumbangnya Barisan Nasional yang telah menjadi kerajaan selama lebih 60 tahun dan janji-janji yang dibuat hanyalah retorik pilihanraya. Maka terpaksa diwujudkan gimik Tabung Harapan, hutang sebenar negara daripada 686 bilion ringgit terpaksa ditambah sehingga menjadi 1.3 trilion ringgit, agar negara kelihatan ‘benar-benar tenat’ bagi merasionalkan segala janji ditangguhkan atau dilupakan terus.
Maka di sinilah peluang yang diambil oleh Tun Dr. Mahathir dan pasukannya untuk memerintah kembali seperti suatu ketika dahulu dan apa yang dikhuatiri akan bermulalah era UMNO 2.0 kerana parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia adalah serpihan daripada UMNO itu sendiri.
Sekiranya benar Tun Dr. Mahathir berhasrat mengangkat Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri bagi menggantikannya, tentunya sekarang ini Datuk Seri Anwar akan diberikan sekurang-kurangnya jawatan sebagai Ketua Majlis Penasihat Kerajaan sebelum beliau bersedia untuk bertanding menjadi Ahli Parlimen yang akan membolehkannya menjadi Perdana Menteri kelak.
Jika disorot kembali perjuangan Datuk Seri Anwar sejak 20 tahun lepas, beliau konsisten berjuang untuk reformasi menolak kleptokrasi Tun Mahathir dan rakan-rakannya seperti Tun Daim, memperjuangkan ketelusan dan memerangi ketirisan, kronisme dan nepotisme yang telah membarah ketika itu.
Masa 20 tahun tersebut sudah terlalu lama untuk beliau menambah masa lagi 2 tahun malah tiada sebarang isupun untuk dipercepatkan apatah lagi Datuk Seri Anwar telahpun diberi pengampunan penuh oleh YDP Agong yang telah membersihkannya dari seluruh tuduhan sebelum ini.
Sekiranya Datuk Seri Anwar telahpun bersedia untuk menjadi Perdana Menteri namun persoalannya adakah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri bersedia untuk melepaskan jawatannya kepada beliau?
Kita tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilupakan seperti mana rakyat kelak akan melupakan jani-janji manifesto Pakatan Harapan.