KERAJAAN PH TANGGUNG MALU AKIBAT STRATEGI ANWAR IBRAHIM “BUAT DULU, FIKIR KEMUDIAN”

975
SHARES
3.5k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

Kegagalan kerajaan PH mendapatkan majoriti meluluskan pindaan MA63 Sabah dan Sarawak di Parlimen semalam menyerlahkan ‘temberang’ Anwar selama ini. Sebaliknya, Anwar menyalahkan BN atas kegagalan tersebut. Kenyataan Anwar ini adalah untuk mengalihkan perhatian dari kegagalannya membantu kerajaan dan PM mendapatkan majoriti bagi meluluskan pindaan tersebut. Anwar telah gagal kerana:

1. Anwar adalah Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Parlimen, satu jawatan yang agak besar pengaruhnya di kalangan Ahli Parlimen. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa ini, Anwar gagal mendapatkan tambahan 10 undi bagi membolehkan usul tersebut dipinda. Untuk rekod, kerajaan memerlukan 148 undi bagi membolehkan pindaan, malangnya semalam hanya memperolehi 138 undi. Kerajaan menanggung malu yang sangat besar akibat kegagalan ini.

2. Usul pindaan ini juga telah gagal mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak. Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menyifatkan pembentangan usul pindaan ini dilakukan secara tergesa-gesa. Mereka mahukan usul ini dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dan dikaji dengan lebih mendalam. Anwar dalam ucapan perbahasan telah menolak cadangan mentah-mentah. Anwar mahu pindaan ini segera diluluskan dan perkara-perkara berbangkit akan dibincang kemudian.

3. Ini memang ‘cara’ Anwar sejak dahulu lagi, “buat dulu, fikir kemudian”. Akibat dari sesuatu keputusan yang dibuat akan difikir kemudian. Yang penting, buat dulu! Pastinya ada sesuatu jika sesuatu mahu dilaksanakan segera. Itulah yang terjadi kepada Falsafah Pendidikan Negara, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM). Buat dulu untuk mendapatkan ‘political mileage‘, kepercayaan dan kegemilangan, selepas itu banyak kali dipinda kerana isinya longgar.

4. Begitu juga dengan banyak dasar kewangan Anwar. Apa jadi dengan Program Pembangunan Kontraktor Berwibawa yang diperkenal ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan? Akhirnya kontraktor tertentu menjadi kroni beliau kerana mekanisme pemilihan yang tidak telus dan programpun gagal. Sebaliknya, Anwar yang mendapat nama. Konon telah membantu kontraktor Bumiputera walhal telah mengamalkan kronisme di sebalik program tersebut.

5. Paling tidak dilupa, ketika krisis kewangan tahun 1998. Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika itu berpendapat kadar keuntungan (interest rate) negara harus dinaikkan setinggi mungkin bagi menarik pelaburan asing. Banyak bantahan terhadap cadangan Anwar, namun seperti biasa Anwar tetap dengan pegangannya “buat dulu, fikir kemudian”.

Akibat dari kenaikan kadar keuntungan ketika itu, ramai peniaga khususnya Bumiputera telah ‘bungkus’ dan gulung tikar menanggung hutang yang amat tinggi akibat dasar yang dilaksana Anwar sebagai Menteri Kewangan itu.

6. Kerajaan menanggung malu yang amat besar semalam. Saya percaya, jika ianya dilakukan dengan cermat serta tidak tergesa-gesa, kerajaan akan mendapat sokongan tanpa mengira batasan politik kerana ia baik untuk Malaysia. Anwar sebagai pembahas yang mendapat tumpuan semalam, sepatutnya menyokong permintaan wakil Sabah dan Sarawak yang mahukan ia dibawa ke Jawatankuasa Pemilihan Parlimen dan dikaji sebelum dibentang semula bagi kelulusan.

Ini tidak, Anwar beria-ia mahukan pindaan ini disokong dan diluluskan dengan memetik nama Perdana Menteri sebagai sandaran menguatkan hujahnya. Apa yang Anwar dapat jika ia segera diluluskan semalam? ‘Political mileage‘? Membuktikan kepada PM bahawa beliau boleh mengawal Parlimen?

Atau setelah menyedari Tun Mahathir akan menghabiskan penggal sebagai PM sehingga 2023, Anwar mahu mendapatkan keuntungan politik membina kekuatan peribadi di Sarawak yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri pada tahun 2021 nanti untuk melawan Tun M lebih awal?

Satu lagi strategi Anwar kecundang semalam dan mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan menanggung malu yang tidak terkira apabila usul yang teramat penting ini cuba ‘dilepaskan’ dengan tergesa-gesa.

Jangan diikut resam Anwar, “buat dulu, fikir kemudian”…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts