Lantikan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) yang terdiri daripada Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Hassan Marican, Tan Sri Robert Kuok dan Prof. Jomo Kwame Sundaram dikatakan agak kontroversi kerana diwujudkan lebih awal daripada lantikan menteri kabinet. Malah kesemua mereka adalah kenalan rapat Tun Mahathir, selain tidak semua dapat memberi komitmen seperti yang diperlukan.
Tan Sri Robert Kuok sendiri akui tidak dapat menghadiri Majlis Penasihat secara kerap kerana beliau tinggal di Hong Kong dan mewakilkan Tan Sri Oh Siew Nam, Pengerusi PPB Group Berhad. Sepatutnya Perdana Menteri menggantikan atau menggugurkan terus Tan Sri Robert Kuok kerana tidak berupaya memainkan peranan sepatutnya sebagai penasihat apabila sering tidak hadir.
Apa logiknya apabila seorang penasihat yang diperlukan dalam keadaan yang sangat genting negara berada dalam keadaan tenat, di ambang muflis dan hutang yang mencecah lebih 1 trilion ringgit namun penasihat tersebut mewakilkan orang lain pula menggantikannya.
Sama ada negara sebenarnya tidak tenat, tidak di ambang muflis dan hutang sebenar tidak sebegitu tinggi atau beliau rasa duduk di Hong Kong lebih selesa daripada membantu negara yang selama ini memberi peluang beliau memonopoli industri gula sehingga menjadi bilionair seperti sekarang.
Manakala lantikan Majlis Penasihat Pertanian pula dari awal lagi telah terpalit dengan kontroversi apabila melantik seorang pemuda yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan pertanian, iaitu Najib Assadok, pelatih pemasaran internet yang juga anak murid kepada Azizan Osman, pakar motivasi yang terpalit dengan isu kelayakan akademiknya sebelum ini. Mujurlah lantikan beliau ditangguhkan selepas dikritik oleh netizen yang meragui kelayakan dan kemampuan Najib Assadok.
Jika agenda membangunkan negara diutamakan dan Majlis Penasihat ini adalah tulang belakang bagi membantu kerajaan membangunkan kembali negara yang tenat dan di ambang muflis ini maka kenapakah lantikan Majlis Penasihat dilakukan secara main-main tanpa mengkaji latar belakang individu dan komitmen yang mampu mereka berikan? Kenapakah berlaku kesilapan bodoh yang sepatutnya dielakkan?
Persoalan lain yang timbul ialah kenapa kerajaan memerlukan Majlis Penasihat sedangkan terdapat pelbagai agensi, jabatan dan unit di setiap kementerian ataupun institusi yang boleh membantu memberikan nasihat kepada kerajaan?
Sekiranya MPK benar-benar diperlukan dalam masa 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan memerintah maka tidak mengapalah namun kenapa sehingga kini kita belum melihat pelan yang jelas mengenai pemansuhan GST dan mengembalikan SST pula adalah dengan kadar berapa peratus?
Serta apakah mekanisme untuk mengekalkan petrol pada harga 1.50 seliter di pasaran ataupun setidaknya di bawah paras 2 ringgit namun pada masa yang sama bagaimana mekanisme tersebut memberi kesan langsung kepada rakyat berpendapatan rendah dan tidak pula menguntungkan mereka yang mampu membawa kereta mewah kerana mereka juga akan menikmati harga petrol dengan harga yang sama.
Selain itu apakah pula pelan untuk memansuhkan tol di seluruh negara seperti yang dijanjikan dalam manifesto yang mana dengan pemansuhan tersebut akan membuatkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja berpuluh bilion ringgit untuk membayar gantirugi kepada syarikat konsesi tol tersebut. Bukan itu sahaja, berapakah pula belanja yang perlu dikeluarkan setiap tahun untuk menyenggara jalanraya tersebut selepas perjanjian dengan pihak konsesi ditamatkan?
Selain MPK yang sememangnya diperlukan, apakah pula rasionalnya Majlis Penasihat lain diwujudkan? Atau is terpaksa dilakukan kerana terdapat beberapa Menteri yang dilantik tidak tahu membuat kerja? Kita tunggu Majlis Penasihat di kementerian mana pula yang akan diwujudkan selepas cadangan untuk mewujudkan Majlis Penasihat Agama dibincangkan semalam bersama MPK.