ANDA MAHU KEADILAN ATAU KESAMARATAAN?

268
SHARES
789
VIEWS

Jika sesebuah kerajaan itu tidak mampu menjalankan tanggungjawab hakiki mereka maka kerana itulah rakyat  akan marah, tidak berpuas hati dan mula menolak kerajaan tersebut.

Tugas-tugas dan tanggungjawab hakiki sesebuah kerajaan itu adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyatnya yang merangkumi pelbagai bangsa, adat dan budaya dan setiapnya menuntut “keadilan yang sama rata” dan bukannya ‘kesamarataan’.

Ini kerana kesamarataan ini bukannya bererti keadilan, sebagai contoh sebuah keluarga seorang anak tidak sama dengan sebuah keluarga yang mempunyai tujuh orang anak.

Maka jika hendak disalurkan bantuan, hendaklah disalurkan secara adil dan bukannya sama rata.

Bantuan terhadap sebuah keluarga yang mempunyai tujuh anak kecil juga tidak sama dengan sebuah keluarga yang mempunyai tujuh anak yang sudah bekerja.

Apatah lagi sebuah keluarga yang mempunyai anak-anak bertaraf bilionair jika hendak dibandingkan dengan sebuah keluarga nelayan tanpa anak yang memerlukan bantuan sara hidup ketika musim tengkujuh.

Jika hendak dilayan secara sama rata maka keluarga yang mempunyai anak-anak bilionair itu juga akan mendapat bantuan kontrak dan projek kerajaan, ini tentunya tidak adil bagi rakyat yang disarankan untuk mengikat perut.

Keadilan pada kaca mata undang-undang juga sama.

Jika sesiapa yang mengamalkan rasuah disiasat, ditahan dan dibicarakan serta memberi peluang tertuduh membuktikan sebaliknya, tanpa mengira siapa beliau, bila beliau lakukan dan berapapun jumlah yang terlibat, ini dinamakan keadilan.

Ia dikira sebagai menegakkan keadilan atas prinsip ‘rule of law’ jika dilaksanakan waima kepada seorang bekas Perdana Menteri sekalipun jika penuduhnya yakin mempunyai bukti dan saksi yang cukup.

Walaupun saksi-saksi pendakwaan tersebut mungkin memberi kelebihan kepada si tertuduh ketika dibicarakan.

Namun jika terdapat seorang bekas Perdana Menteri yang dikaitkan dengan pelbagai skandal rasuah dan projek berpuluh bilion yang dikaitkan dengannya sebelum ini tetapi langsung tidak disiasat apabila beliau menjadi Perdana Menteri semula, ini dinamakan ketidakadilan.

Ini kerana apa yang dilakukannya tetap salah apatah lagi tuduhan terhadapnya jauh lebih besar dan beliau juga perlu diberi peluang untuk membersihkan dirinya di mahkamah.

Amat tidak adil jika beliau berselindung di sebalik jawatannya sebagai Perdana Menteri serta beliau tidak  diberi peluang membela diri dan membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah oleh penuduh-penuduhnya yang rancak menuduhnya sebelum ini.

Walaupun penuduh-penuduhnya kini turut berada bersama-samanya dalam kerajaan.

Jika ditinjau melalui sudut kesamarataan pula, jika ada seorang bekas Perdana Menteri yang sedang menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah, beliau perlu dilepaskan kerana beliau juga perlu dilayan sama rata seperti bekas Perdana Menteri seorang lagi.

Layanan sama rata seperti yang dinikmati oleh Perdana Menteri yang memerintah semula itu perlu diberikan atas kapasiti sama-sama pernah menjadi Perdana Menteri.

Maka barulah ini dinamakan kesamarataan, tidak kira siapa, wajib dilayan sama rata.

Jangan pula ketika ingin menegakkan keadilan, namun apabila terkena kepada pihak atau individu yang kita suka, maka kita tidak mahu pula laksanakan keadilan, ini tidak adil namanya.

Sama juga ketika ingin menegakkan kesamarataan, namun terkena kepada pihak atau individu yang kita  tidak suka, maka kita tidak mahu pula laksanakan kesamarataan, ini tidak sama rata namanya.

Justeru, yang mana satu pilihan anda, anda mahu tegakkan keadilan ataupun kesamarataan?

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts