Menyalahkan ‘amalan terdahulu’
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid menyalahkan ‘amalan terdahulu’ yang mengakibatkan prestasi bayaran balik pinjaman yang rendah dalam kalangan peminjam.
Menurut beliau, amalan berkenaan memaksa perbadanan itu membuat pinjaman lebih besar dengan institusi kewangan bagi memastikannya terus mampu mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baharu.
Katanya, implikasi daripada amalan lama ini akan mengakibatkan PTPTN menanggung hutang yang tinggi sehingga RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.
51 peratus peminjam tidak membayar secara konsisten
Masalah itu diburukkan lagi apabila hanya 49 peratus daripada keseluruhan tiga juta peminjam PTPTN melunaskan pinjaman mereka dan bakinya tidak membayar secara konsisten termasuk 19 peratus atau 356,000 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman mencecah RM2.8 bilion.
Mastura berkata, pada masa ini PTPTN mengalami masalah kewangan yang serius disebabkan sistem bayaran balik pinjaman yang rendah tetapi terpaksa mengeluarkan pinjaman kepada pemohon baharu.
Jika tiada perubahan drastik dilakukan, tidak mustahil PTPTN tidak akan mampu memberi pinjaman lagi dan mungkin terpaksa ditutup.
Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan; Pengerusi Panel Konsultasi Rakyat, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim dan ahli panelnya, Datuk Hussamuddin Yaacub serta Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.
Tindakan ‘makan diri’
Nampaknya segala apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini banyak yang ‘memakan diri’ sama seperti pemansuhan GST yang mengakibatkan kerajaan kehilangan pendapatan puluhan bilion setahun dan terpaksa meminta bantuan dari Petronas, membuat pinjaman serta menjual aset-aset negara.
Dengan mudahnya mereka cuba berdalih dengan menyalahkan kerajaan terdahulu dalam apa jua kegagalan yang mereka lakukan.
Peminjam dihasut agar tidak melunaskan pinjaman
Terkini adalah mengenai PTPTN, di mana sebelum ini mereka sendiri yang menghasut peminjam-peminjam dan mencanangkan agar mereka jangan membayar balik pinjaman PTPTN kerana jika Pakatan Harapan menang, maka pinjaman ini akan dimansuhkan.
Mereka juga membuat cadangan penguatkuasaan yang jauh lebih keras daripada zaman kerajaan Barisan Nasional sebelum ini hanya menyenaraihitamkan peminjam-peminjam.
Penguatkuasaan yang dilihat akan lebih menindas peminjam
Namun kini kerajaan Pakatan Harapan akan mempertimbangkan penguatkuasaan baharu yang sebenarnya jauh lebih menindas.
Mastura memberi perbandingan yang sangat tidak logik di mana beliau mengatakan sebelum ini “sekatan ke luar negara di lokasi pelepasan sangat menyusahkan peminjam” tetapi malah menimbangkan penguatkuasaan yang jauh lebih keras meliputi;
1) Larangan memperbaharui pasport, iaitu sama sahaja seperti menyenaraihitamkan peminjam keluar negara
2) Larangan memperbaharui lesen memandu, di mana bukan sahaja tidak akan dibenarkan keluar negara malah peminjam berkemungkinan akan menghadapi masalah tidak boleh memandu ke mana-mana jika penguatkuasaan ini dilaksanakan
3) Larangan memperbaharui cukai jalan kenderaan, di mana perkara ini akan hanya menyusahkan warganegara sendiri sedangkan mereka perlu keluar bekerja mencari rezeki
4) Sekatan pendaftaran perniagaan, ini amat menyusahkan kerana bukan sahaja pasport, lesen dan cukai kenderaan disekat, mereka juga dihalang untuk memulakan perniagaan apabila penguatkuasaan tidak masuk akal ini dilaksanakan
5) Sekatan kelulusan pinjaman kepada ahli keluarga terdekat peminjam, yang tentunya menyusahkan semua pihak sedangkan syarat ini sangatlah tidak berperikemanusiaan untuk dikuatkuasakan
Hasut peminjam jangan bayar, kini hanya menyusahkan kerajaan sendiri
Ya benar, hutang perlu dibayar namun kenapa sebelum ini mereka sendiri yang menghasut agar jangan membayar hutang PTPTN dan berjanji akan mansuhkan pinjaman tersebut?
Peminjam-peminjam hanya akur dengan hasutan mereka dan tidak menyangka akan dikhianati.
Akhirnya mereka terjerat kerana terpesona dengan ‘tawaran palsu’ Pakatan Harapan, bukan sahaja tidak dimansuhkan malah mereka dilihat ingin menindas para peminjam.
Justeru, para peminjam perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan jika akhirnya penguatkuasaan ini dilaksanakan.
Atau mereka tunggu sahaja kerajaan Pakatan Harapan membuat ‘u-turn’ seperti biasa.