KERAJAAN WAJAR LONGGARKAN KEMBALI SYARAT E-HAILING

548
SHARES
1.7k
VIEWS

Kementerian Pengangkutan yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong diharapkan dapat melonggarkan kembali syarat-syarat wajib yang diketatkan oleh kerajaan sebelum ini dan dikuatkuasakan pada 12 Julai 2018 terhadap pemandu-pemandu dan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing.

Ini kerana jika sebelum ini pekerjaan sebagai pemandu e-hailing menjadi pilihan masyarakat Malaysia bagi menambah pendapatan dan menyara keluarga, namun atas kekangan yang dikenakan oleh pihak kerajaan sebelum ini membuatkan semakin ramai yang melupakan pekerjaan ini dan beralih kepada pekerjaan lain. 

E-hailing menjadi pilihan kerana mudah dan hampir serta merta boleh dilakukan

Kerajaan wajar memikirkan bentuk pekerjaan bersesuaian yang dapat membantu rakyat berdiri sendiri dengan kadar segera selepas pandemik beransur pulih dan berakhir.

Melalui e-hailing, kerajaan tidak perlu bersusah payah memikirkan alternatif lain, cukup dengan melonggarkan syarat sedia ada atau mengembalikan apa yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD sebelum ini.

Ia akan dapat membantu rakyat dengan kadar segera bagi menampung perbelanjaan dengan tidak hanya bergantung kepada bantuan pihak kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.

Syarat baru e-hailing sebelum ini hanya sesuai untuk pemandu sepenuh masa

Apa yang menjadi dilema pemandu-pemandu dan penyedia perkhidmatan sebelum ini ialah syarat-syarat baru yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini lebih memihak kepada pemandu yang memilih untuk bekerja secara sepenuh masa.

Selain syarat-syarat oleh penyedia perkhidmatan e-hailing, para pemandu berhadapan dengan syarat-syarat kerajaan yang sukar dipenuhi, memerlukan masa yang panjang dan perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Tidak semua dapat dipatuhi oleh pemandu dengan mudah, malah memerlukan masa yang  agak panjang sedangkan perkara ini boleh dimudahkan oleh pihak kerajaan. 

Buktinya penurunan mendadak pemandu-pemandu e-hailing seluruh negara selepas pihak kerajaan melaksanakan syarat-syarat baru yang dilihat tidak memihak kepada pemandu e-hailing.

Pihak penyedia perkhidmatan e-hailing membantu sepenuhnya

Sebelum ini pihak penyedia perkhidmatan akan bertanggungjawab sepenuhnya mengumpul data pemandu, menyalurkan latihan, menyelaras dan koordinasi pemandu serta memastikan undang-undang dipatuhi. 

Mereka juga sentiasa berkomunikasi dengan pihak SPAD dan juga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tujuan tapisan dan keselamatan.

Syarat-syarat e-hailing sendiri sudah  memadai

Syarat-syarat untuk menjadi pemandu e-hailing sebelum ini amat mudah tetapi sangat ketat untuk memastikan mereka berdisiplin dan adil kepada penumpang. 

Antara syarat-syarat ketat bagi menjaga disiplin pemandu dengan memastikan ‘kadar pembatalan’ dan ‘kadar penerimaan’ penumpang dijaga sebaik mungkin selain menyediakan butang aduan dan penilaian pemandu oleh penumpang, yang banyak membantu pihak penyedia perkhidmatan membaiki mutu perkhidmatan mereka.

Pemandu-pemandu pula lebih berdisiplin dan mudah dikawal selia oleh penyedia perkhidmatan tanpa menyusahkan pihak kerajaan.

Syarat penyedia perkhidmatan e-hailing mampu mendisiplinkan pemandu

Selain itu, pemandu juga berhadapan dengan tindakan disiplin oleh pihak syarikat jika melakukan kesalahan seperti ditahan memandu buat sementara ataupun diharamkan terus sekiranya melibatkan kesalahan yang serius seperti menipu aplikasi ataupun memperdaya penumpang.

Bagi kesalahan jenayah pula, mereka akan dilaporkan terus kepada pihak polis, sama seperti pekerja di sektor lain. 

Di sebalik syarat yang ketat untuk mendisplinkan pemandu ini, ia tetap menjadi pilihan kerana mudah dilakukan pada bila-bila masa dan menjadi saingan sihat bagi setiap penyedia perkhidmatan.

Justeru itu pihak kerajaan wajar melonggarkan syarat atau mengembalikan syarat lama agar e-hailing terus relevan dan kembali menjadi pilihan, terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Teknologi wajar dimanfaatkan sepenuhnya

Teknologi dicipta bagi memudahkan pengguna dan rakyat tetapi jika kerajaan sendiri mengenakan pelbagai syarat yang  bukan sahaja tidak membantu malah menyusahkan, maka ia sepatutnya dihapuskan atau ditarik kembali agar lebih ramai yang mendapat manfaat. 

Teknologi tidak sewajarnya disukarkan.

Sebelum ini sebegitu ramai memilih untuk menjadi pemandu kerana mereka hanya perlu berurusan dengan pihak penyedia perkhidmatan sahaja dan dalam masa 24 jam mereka sudah boleh memulakan tugas.

Inilah kelebihan utama menjadi pemandu e-hailing dan inilah aspirasi asal tujuan aplikasi e-hailing ini diciptakan iaitu boleh terus menambah pendapatan melalui manfaat teknologi.

Jika sebelum ini boleh dilaksanakan selama bertahun-tahun tanpa masalah, kenapa ia tidak boleh dikembalikan semula? 

Gig economy‘ sesuai bagi membantu rakyat ketika dan pasca pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan

Selain mengharapkan bantuan kerajaan melalui bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi yang baru diumumkan, rakyat juga memerlukan peluang lain yang boleh mereka lakukan dengan segera dan mudah bagi menyara keluarga.

Pekerjaan berasaskan ‘gig economy‘ yang dilakukan secara sambilan dan mengikut masa sendiri serta kadang kala dilakukan secara sementara ini wajar digalakkan dan dijadikan agenda negara untuk membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas.

Kekangan terhadap pemandu e-hailing dapat dihapuskan segera

Banyak juga syarikat penyedia perkhidmatan yang ‘gulung tikar’ atau mengubah aplikasi mereka kepada aplikasi lain termasuk penghantaran makanan yang sehingga kini syaratnya masih tidak diketatkan dan mendapat sambutan. 

Ada yang masih bertahan yang masih mencari peluang untuk bertapak dalam industri tetapi terbantut oleh syarat-syarat baru kerajaan sebelum ini. 

Kembalikan syarat e-hailing seperti sebelum ini yang diterajui oleh SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD melalui Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan sebelum ini sudah hampir menemui jalan penyelesaian antara teksi dan e-hailing sebelum kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan dan segala-galanya berubah selepas itu.

Sayang sekali kerana ketika itu sebegitu ramai pemandu mencari makan sebagai pemandu e-hailing.

Kesinambungan antara empat kementerian melalui e-hailing

Ramai yang mungkin tidak mengetahui  melalui e-hailing, sinergi dan perkaitan antara 4 kementerian iaitu Kementerian Pengangkutan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. 

Itulah uniknya e-hailing di mana ia mempengaruhi secara langsung terhadap keempat-empat kementerian. 

i. Kementerian Pengangkutan Malaysia

Sebagai kementerian paling utama yang mengawal selia dan menyelaras semua perkara berkaitan perkhidmatan e-hailing termasuk syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dan pemandu-pemandu di bawahnya.

ii. Kementerian Belia dan Sukan

Kebanyakan daripada pemandu adalah dalam kalangan belia di negara ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah belia pada 2018 ialah 15.1 juta iaitu 46.64 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini.

Menjelang tahun 2030 pula dianggarkan golongan belia adalah kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh dalam mencorak dan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Ketika ini takrifan belia masih dikira berdasarkan kelompok mereka yang berusia 40 tahun ke bawah walaupun pindaan kepada had umur 30 tahun akan dilaksanakan pada tahun 2021 kelak.

iii. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Suatu ketika dahulu, mahasiswa yang baru menamatkan pengajian dan bergelar graduan akan menumpukan usaha mencari pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian mereka.

Mereka akan dibantu oleh pihak universiti sama ada melalui program kebolehpasaran graduan (graduate employability) ataupun program kerjaya.

Pihak universiti pula bertanggungjawab menyalurkan data terkini dan kemas kini pekerjaan setiap graduan mereka kepada pihak kementerian, bagi melengkapkan ‘traces study’ masa 6 bulan yang ditetapkan oleh kementerian.

Dengan wujudnya e-hailing, mereka boleh bekerja sementara menunggu temuduga dan bagi menyara diri sendiri sebelum mendapat sebarang pekerjaan tetap mengikut bidang masing-masing.

Oleh kerana itu syarat-syarat e-hailing ini perlu dilonggarkan agar graduan dapat terus menggunakannya. 

iv. Kementerian Sumber Manusia

Tentunya pihak kementerian memerlukan data terperinci rakyat Malaysia bagi membantu mereka. Daya usaha melalui e-hailing yang di bawah Kementerian Pengangkutan ini wajar disokong penuh oleh Kementerian Sumber Manusia.

Kesimpulan

Pihak kerajaan terutamanya pihak Kementerian Pengangkutan digesa menimbangkan perkara ini sebaik mungkin.

Kementerian-kementerian yang berkaitan seperti disebutkan juga wajar memainkan peranan menyokong dan menyalurkan kepakaran agar e-hailing ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, terutamanya dalam keadaan sukar sebegini dan juga pasca pandemik iaitu selepas segalanya berakhir.

Rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 yang terkesan termasuk diberhentikan kerja atau kehilangan punca pendapatan ketika itu tentunya tercari-cari pekerjaan yang dapat dilakukan segera dan e-hailing ini akan menjadi pilihan utama selepas ini. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts