KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
11 Julai 2021
1. PUTRA adalah sebuah parti yang tidak memihak kepada mana-mana blok PN, PH atau BN. PUTRA merupakan parti kuasa ketiga (third force) berdiri dan tegak atas prinsip DEMOKRASI BERPARLIMEN, RAJA BERPERLEMBAGAAN, MENJUNJUNG KELUHURAN UNDANG-UNDANG (RULE OF LAW) dan bukan parti yang bersifat hipokrit serta bersandiwara. Jika putih yang dikata maka putihlah pilihannya dan bukan parti “menang sorak kampung tergadai”.
2. Maka PUTRA berpendapat YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin selaku Perdana Menteri serta kerajaannya SUDAH HILANG MAJORITI DI PARLIMEN. Ini susulan daripada penarikan sokongan parti UMNO kepada YAB Perdana Menteri dan keluar daripada Perikatan Nasional.
Kaedah ini sama seperti ketika YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri ke-8 oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melalui kaedah sokongan blok parti dan bukan dikira daripada pendirian secara individu Ahli-ahli Parlimen.
Walaupun Tun Mahathir dan kumpulannya mendakwa tidak bersetuju tetapi mereka tetap menyokong YAB Tan Sri Muhyiddin. Maka baginda menganggap beliau mendapat sokongan majoriti. Memang tidak nampak dan semua pihak tidak sedar perkara ini.
3. Terkini selepas parti UMNO menarik diri daripada menyokong Mahiaddin sebagai Perdana Menteri, sudah ada dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen UMNO mengumumkan pendirian mereka menarik sokongan kepada Mahiaddin kerana taat kepada arahan parti.
Mereka ini di kalangan yang bermoral dan setia kepada parti dan bukan laugan kosong. Sebelum inipun sudah ada beberapa Ahli Parlimen UMNO yang berbuat demikian serta ada juga yang “sorong tarik buah keranji dalam perahu”.
4. Sebelum ini satu dunia tahu bahawa sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin sebagai Perdana Menteri berjumlah 113 sahaja daripada jumlah 220 (2 Ahli Parlimen telah meninggal dunia).
Maka mengambil kira atas penarikan sokongan parti UMNO dan pengisytiharan sebahagian Ahli-ahli Parlimen UMNO secara terbuka, maka jelaslah beliau telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.
5. MAKA TAN SRI MAHIADDIN TIADA PILIHAN SELAIN DARIPADA MELETAKKAN JAWATAN SEBAGAI PERDANA MENTERI. Tiada apa lagi yang hendak ditunggu bahkan nama beliau pun sudah tercatat dalam sejarah sebagai Perdana Menteri ke-8.
Jika beliau berjiwa besar dan bersifat negarawan, maka berundurlah secara terhormat bagi membolehkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong selaku “Payung Negara” mengambil tindakan selanjutnya untuk menamatkan krisis politik dan Perlembagaan.
Termasuklah krisis keyakinan dan kegelisahan rakyat akibat daripada kegagalan kerajaan menangani isu Covid-19 secara berkesan serta gagal mengurus ekonomi negara yang terus merudum.
6. YAB Tan Sri Mahiaddin wajar mengambil iktibar seperti Tun Abdullah Badawi yang meletakkan jawatan secara terhormat apabila didesak sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-5 kerana kekalahan teruk BN pada PRU 2008 serta kekecohan “budak Tingkat 4” di PMO.
Ketika itu beliau juga turut mendesak Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan kerana nampak peluang dapat mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila YB Dato Seri Najib Razak mengisi jawatan PM ke-6. Sejarah selalu mengukir dan berulang. Malah perkara inipun diketahui oleh khalayak.
7. Tun Abdullah Badawi telah menunjukkan teladan yang baik kerana ilmu agamanya. Beliau juga selalu menjadi imam dan membaca doa. Saya masih ingat kerana berada lama dalam UMNO. 12 tahun menjadi Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas dan pelbagai jawatan termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi selama 6 tahun dan Exco Pemuda.
Saya turut menerima ‘hadiah’ ISA) dalam Operasi Lalang pada tahun 1987 kerana isu ketuanan Melayu dan disingkirkan sebagai Ketua Bahagian UMNO tanpa sebab oleh Tun Abdullah Badawi atas nasihat budak Tingkat 4 dan mereka di sekelilingnya, walaupun saya begitu gigih dalam gerak kerja mempertahankan UMNO sewaktu krisis pemecatan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Abdullah Badawi tidak gugurkan mereka yang berkahwin di Tak Bai atau yang terpalit dengan pelbagai isu tetapi saya digugur atau dipecat tanpa usul periksa di bulan Ramadan tahun 2003.
Hampir 15 tahun saya tidak berparti dan kemudiannya menubuhkan NGO PERKASA dan pada tahun 2019 terlibat sama dengan rakan-rakan lain menubuhkan parti PUTRA atas dasar menolak perjuangan “menang sorak kampung tergadai” dan politik hipokrit serta munafik.
8. Walaupun saya dizalimi oleh “Mr. Clean” iaitu Tun Abdullah Badawi yang telah memecat saya tanpa usul periksa, namun saya tetap menghormati beliau di atas sifat istiqamahnya dan berani meletakkan jawatan Perdana Menteri ke-5 secara terhormat. Inilah kehebatan Tun Abdullah Badawi.
Maka YAB Tan Sri Mahiaddin patut mengambil iktibar daripada yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah Badawi.
Gesaan saya ini agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat ini bukanlah bersifat peribadi.
Ini kerana beliau tidak ada sebarang isu dengan saya. Saya mula berkenalan dengannya sejak tahun 1973 di waktu sama-sama menjadi ahli rombongan pertukaran Belia Malaysia Kanada selama 3 bulan.
Sewaktu saya menjadi Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas, pernah mencalonkan beliau sebagai Naib Presiden UMNO kerana wakfu itu beliau tidak cukup bilangan pencalonan untuk bertanding Naib Presiden. Saya terpaksa korbankan calin lain yang saya sudah janji untuk calonkan. Panjang cerita “the untold story“.
9. Secara tegas dan terus-terang, gesaan saya ini bukan peribadi tetapi atas prinsip bukan saya tidak sayang kepada beliau tetapi saya lebih sayangkan negara dan nasib rakyat. Meminjam kata-kata Brutus kepada Caeser, “Hormatilah demokrasi dan keluluhuran undang-undang. Berhentilah.”
Terima kasih
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA