VIDEO AZMIN-HAZIQ, TULEN ATAUPUN PALSU?

241
SHARES
779
VIEWS

Pertikaian mengenai ketulenan video yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet yang tersebar sejak minggu lepas sibuk diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk di peringkat pemimpin negara dan akhbar luar negara.

Malah beberapa pakar luar negara juga telah membuat penyemakan forensik ke atas video tersebut dan mengesahkannya sebagai benar dan tidak diubahsuai, walaupun Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakannya sebagai ‘diubahsuai’.

Kemudiannya wujud percanggahan pendapat antara mereka yang percaya ketulenan video tersebut,  yang dikuatkan dengan pengakuan secara terbuka oleh pelakunya.

Satu pihak lagi pula percaya video tersebut telah diubahsuai dengan hanya memberi hujah kononnya ‘teknologi terkini’ mampu membuat macam-macam perkara yang dahulunya tidak boleh dilakukan, tanpa disokong oleh sebarang bukti.

Pihak yang percaya video tersebut sebagai tulen, mendatangkan hujah dan perincian termasuk oleh pakar luar negara, untuk menunjukkan bagaimana mustahilnya video berdurasi panjang mampu dipalsukan.

Manakala pihak yang berhujah mengenai “betapa mudahnya memalsukan video pada zaman ini” tidak mampu menunjukkan satu contohpun video yang telah diubahsuai atau dimasukkan ‘watak’ yang ingin dianiaya dan diaibkan, seperti yang berlaku kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

Namun secara tidak langsung, mereka yang berhujah atau memegang pada pandangan bahawa video tersebut sebagai palsu, diubahsuai, dicipta untuk mengaibkan pelaku di dalamnya, mereka terlupa untuk menidakkan bahawa pelakunya adalah tulen.

Mereka percaya pelaku dalam video tersebut adalah serupa dengan watak sebenar di luar video yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan dan cara untuk menidakkannya adalah melalui ‘hujah teknikal’ kononnya sangsi dengan “cara video tersebut dihasilkan”.

Mereka tidakpun berhujah pada ‘ketidaktulenan pelaku’ dalam video tersebut, tidak mempertikaikan watak dalam video itu bukan menteri kabinet seperti yang dituduh oleh pelaku seorang lagi yang membuat pengakuan konsisten bahawa beliau bersama Azmin dalam video tersebut.

Melalui pengakuan pelaku tersebut yang mengakui bahawa sememangnya perkara tersebut berlaku dan atas keberanian beliau mendedahkannya, dilihat menyulitkan Menteri Kabinet yang dituduh terlibat untuk menepis perkara tersebut sebagai tidak benar.

Ini kerana pengakuan beliau memberi impak yang besar, di mana jika beliau berbohong nescaya dengan mudah pihak berkuasa akan mampu mengesannya, sama ada video tersebut diubahsuai atau watak tersebut bukanlah menteri tersebut.

Walau apapun hasil daripada siasatan kelak, selain persepsi buruk yang timbul terhadap Azmin yang tidak melayakkannya menjadi Menteri Kabinet dan menggagalkan terus laluannya sebagai Perdana Menteri, karier politik beliau juga dilihat mungkin akan berakhir.

Justeru siapa di belakang video tersebut tidaklah sebegitu penting jika menteri tersebut terbukti sebagai pelaku dalam video luar tabie tersebut dan Perdana Menteri dapat menerima hakikat orang kepercayaannya tidak seperti yang beliau harapkan.

Jika sebaliknya, bersiap sedialah pihak yang menjadi dalang di belakang video tersebut menghadapi akibatnya, tidak kira  apa alasannya sama ada bermotifkan politik, dendam ataupun perebutan kuasa.

Iktibar dari perkara ini semua hanya satu, manusia merancang dengan sebaik-baik rancangan yang mampu difikirkannya, namun akhirnya tetap kalah dengan ketetapan yang dibuat oleh Allah Taala.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts