1. Pemuda PAS Selangor berdiri teguh bersama kenyataan Tuan Guru Presiden PAS dalam muhabasah dan nasihat kepada anak muda pada PRU-14 agar matang dalam pemilihan dengan berbekalkan kefahaman Islam yang jelas.
2. Perubahan atas dasar semangat semata-mata tanpa mampu menapis sebarang info yang tersebar sama ada bersifat persepsi, fitnah atau fakta, kebenaran adalah sikap yang mesti diubah agar tidak mengulanginya pasca PRU-14 dan juga pada PRU-15 nanti.
3. Perubahan yang diseru oleh PAS adalah dengan ke arah membina sebuah negara sejahtera berteraskan kefahaman Islam. Sebab itu dalam perubahan yang diseru oleh PAS sewaktu PRU-14 dapat dilihat antaranya seperti berikut :
a. Isu integriti calon dan pimpinan
PAS membuktikan bagaimana pentadbiran kerajaan PAS di negeri Kelantan yang sifar dari sabitan kes rasuah sepanjang 27 tahun. Soal integriti ini pernah ditekankan oleh Tuan Guru Presiden PAS bahawa ia akan berjaya dengan asas iman dan taqwa serta berpegang dengan konsep dosa dan pahala dalam pengamalan berpolitik.
b. Cukai yang lebih berkebajikan berteraskan model zakat
PAS juga menolak GST kerana ia terkena ke atas golongan miskin dan rakyat secara umum. Maka dicadangkan sebagaimana dalam tawaran yang dikemukan Dokumen Hijau mengenai model cukai simpanan korperat dan cukai perdagangan saham yang mana cukai ke atas lebihan kekayaan atas golongan yang berpendapatan tanpa melibatkan golongan yang susah lagi miskin.
Namun PH yang menjanjikan menghapuskan GST dengan mengembalikan cukai SST tetap tidak mampu meringankan bebanan rakyat marhaen apatah lagi dalam mengharapkan penurunan harga barangan.
c. Penekanan Urus Tadbir Rabbani dalam menjana dana kerajaan
Penelitian terhadap Laporan Audit Negara saban tahun mendapati ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan kerajaan Persekutuan ialah antara RM23 hingga RM40 bilion setahun. Malah setiap tahun hasil kerajaan meningkat sekitar RM20 bilion. Namun gagal menguruskan perbelanjaan secara berhemah.
d. Prinsip dalam penghakiman tuduhan kes
PAS konsisten dalam apa jua isu dan pihak yang tertuduh dengan berpegang teguh prinsip asas undang-undang jenayah iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya “innocent until proven guilty”.
Persespi jahat yang dimainkan dalam media PH seperti isu 90 juta PAS-UMNO, PAS bersekongkol dengan 1MDB dan lain-lain sehingga kini belum berjaya dibuktikan. Namun media pro PH tetap mengulang-ulang persepsi jahat tanpa berjaya membuktikan.
4. Sehubungan itu, perubahan yang berlaku dengan menukar kerajaan BN kepada kerajaan PH tanpa memikirkan secara matang tawaran dari PAS menerusi Gagasan Sejahtera dalam PRU-14 yang lalu adalah umpama kata pepatah “marahkan nyamuk habis kelambu dibakar”.
5. Anak muda khususnya diajak untuk bersama PAS dalam memimpin perubahan pentadbiran negara yang lebih baik dengan tawaran-tawaran yang dikaji dengan lebih mendalam dalam satu-satu manifesto yang dikemukakan.
6. Malah, dengan sikap pimpinan kerajaan PH pada hari ini, sewajarnya pengundi kalangan anak muda khususnya menyedari bahawa persepsi jahat mainan pro PH dalam PRU-14 telah menipu mereka. Ini dapat dilihat antaranya sikap mereka:
a. Tidak mengotakan janji dalam manifesto malah tidak berasa malu dengan menghina mengkhianatinya.
b. Isu Tol dan PTPTN yang menjadi tarikan besar anak muda sehingga kini tiada tindakan penyelesaian dari kerajaan PH sedangkan semasa kempen PRU-14 pelbagai teori dan “fakta” dibentangkan.
c. Bantuan sara hidup yang semakin mengecil malah kerisauan ke atas penjawat awam apabila PM hendak mengecilkan kuota.
7. Justeru, Pemuda PAS Selangor mengajak semua anak muda khususnya untuk mengambil nasihat dari Tuan Guru Presiden PAS agar kembali bangkit kali ini dengan tidak mengulangi tindakan yang sama dalam PRU-14 lalu agar perubahan pada PRU-15 kelak adalah terpimpin dengan kefahaman Islam.
8. Malah sebaran info di zaman teknologi canggih, bukanlah semua angka itu boleh dianggap fakta. Bahkan ia juga boleh menjadi kebarangkalian adalah auta. Sebab itu, kita lihat berapa banyak angka yang dibentangkan kononnya ia adalah “fakta” dari pakar-pakar parti kompenan PH namun gagal. Bukan sekadar itu, pakar-pakar yang membentangkannya turut senyap membisu dan menghilang dari persada politik pada hari ini.
9. Semoga kebijaksanaan anak muda di zaman canggih ini dipimpin dengan disiplin kefahaman Islam agar mampu membezakan antara fakta kebenaran dan auta serta persepsi jahat oleh mainan media pro PH.
BANGKIT; PEMUDA PERINTIS KEBANGKITAN UMMAH
Ustaz Hanafi bin Zulkapli
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Facebook : https://www.facebook.com/dppns.org/?ref=bookmarks
Twitter : https://twitter.com/DPPNSofficial?lang=en
Instagram : https://www.instagram.com/dppns_official/?hl=en