MONOPOLI PUSAT TVET

145
SHARES
469
VIEWS

Sebelum ini pada 22 Jun, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd. Razak menyarankan agar diwujudkan sebuah badan induk tertinggi TVET bagi menyelaras semua agensi yang melaksanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di mana badan induk tertinggi itu turut berperanan sebagai institusi yang bebas bagi mengiktiraf kesemua sijil kemahiran dari semua agensi dan institusi yang menawarkan program TVET.

Saranan ini perlu diperhalusi agar tidak berlakunya monopoli seperti yang boleh dilihat di Pusat Latihan TVET di Kulai, Johor yang juga dikenali sebagai hab Skills Johor yang dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Khaled Noordin pada 18 Oktober 2016. Pusat latihan ini dikendalikan oleh Skills Johor Sdn Bhd yang dimiliki oleh Datuk Omar Shariff Mydeen.

Individu yang sama diberikan tanggungjawab sebagai penyedia latihan di Pusat TVET Kulai tersebut yang menelan belanja lebih 100 juta ringgit di atas tanah seluas 40 hektar. Dikhuatiri berlakunya unsur monopoli dan ketirisan apabila pelbagai syarikat yang dikuasai oleh individu yang sama juga memiliki kepentingan dalam pemilikan tanah tersebut serta turut terlibat dalam pembangunan pusat TVET di bawah nama syarikat lain.

Maklumat terbuka boleh didapati melalui carian di Google di mana kaitan di antaranya dapat diperoleh dengan mudah termasuk melalui teks ucapan perasmian Hab Kemahiran Johor oleh YB Menteri Besar. Agak mengejutkan apabila individu yang sama mempunyai kaitan dengan pemilikan tanah, kemudiannya membangunkan pusat latihan TVET di atas tanah tersebut dan selanjutnya diberi tanggungjawab sebagai penyedia latihan di pusat yang sama.

Sekiranya ini adalah amalan biasa, kita sarankan agar perkara monopoli sebegini dihentikan serta-merta. Amalan menerima ‘surat wahyu’ iaitu atau surat sokongan yang biasa diminta oleh kenalan ahli politik bagi melobi pelbagai projek sebelum ini wajar dihentikan dan dikenakan tindakan tegas.

Persoalan lain juga timbul apabila individu yang sama turut menerima pelbagai geran latihan melalui dana kebolehpasaran graduan sejak 2008 daripada sebuah kementerian tidak lama dahulu melalui syarikat My-Partners Sdn Bhd. Kementerian ini ketika itu diterajui oleh YB Menteri Dato’ Seri Khaled Noordin yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Johor apabila menang di DUN Kempas pada 2013.

Pihak kerajaan wajar meneliti perkara ini termasuk menghentikan penganugerahan surat wahyu untuk mendapat ‘direct award’ tanpa sebarang tender yang sering diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan memberi peluang sama rata kepada syarikat lain yang juga mempunyai kepakaran dan kemahiran yang sama.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts