Kritikan terhadap mySalam oleh Pengerusi PSM, Dr. Jeyakumar mungkin tidak tepat kerana jumlah bayaran yang dibuat oleh pihak Great Eastern (GE) berjumlah RM3 juta setakat Julai 2019 berbanding peruntukan RM400 juta setahun untuk membiayai kos kesihatan sosial khasnya kumpulan B40 tidaklah lenyap begitu sahaja.
Ini kerana pada hemat Biro Ekonomi Bumiputra PUTRA, berdasarkan tatacara operasi mySalam yang dirangka kerajaan, sebarang lebihan atau surplus dari pembiayaan kos tahunan akan disalur ke Tabung Amanah mySalam.
Walaupun begitu, Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera PUTRA berpendirian secara tegas adalah seperti berikut:
1. Keputusan Kerajaan PH memberi pengecualian kepada Great Eastern terhadap peraturan melepaskan 30% saham syarikat insuran asing kepada syarikat tempatan adalah amat berat sebelah dengan alasan yang terlalu lemah – iaitu tempoh yang panjang untuk mempertimbangkan nilai kecairan dalam pasaran.
Tindakan ini dianggap akan menjadi satu ‘precedence’ yang negatif kepada transaksi-tramsaksi pelepasan saham yang melibatkan firma atau syarikat asing di masa akan datang. Dengan pengecualian inilah Great Eastern bersetuju menyuntik sejumlah RM2 bilion sebagai dana permulaan mySalam.
2. Golongan B40 yang kononnya ingin dibantu, namun pihak kerajaan boleh dianggap tidak seikhlas hati memandangkan golongan yang berumur 55 tahun ke atas tidak dilindungi oleh skim tersebut.
Sedangkan rata-rata golongan 55 tahun ke atas inilah yang lazimnya akan mengalami pelbagai masalah kesihatan setelah bersara atau pencen. MOF dan GE sedar bahawa golongan sasar 18 – 55 tahun adalah golongan yang sedang sihat, aktif, bekerja dan masih dilindungi oleh skim kesihatan dan perubatan oleh majikan masing-masing.
3. Sejak Merdeka, pembiayaan kos kesihatan dan rawatan rakyat Malaysia adalah secara ‘outright’ seperti peruntukan dalam belanjawan tahunan dan tanpa komplikasi melalui skim takaful yang ‘lopsided’ kerana mengenepikan rakyat yang berumur 55 tahun ke atas dalam golongan B40; dan
4. Oleh kerana pengecualian diberi kepada firma/syarikat asing bagi pelepasan pegangan saham 30%, penglibatan dan representasi wakil tempatan dalam BOD juga disangsi. GE adalah anak syarikat Great Eastern Holdings Limited yang berpangkalan di Singapura.
Sepatutnya pegangan 30% di syaratkan kepada Syarikat Tempatan Bumiputra melalui, sebagai contoh Koperasi Polis, Anak Syarikat Tabung Haji atau PNB.
Ini yang dimaksudkan dasar affirmative bagi membantu melonjakkan ekonomi Bumiputera agar beransur ansur kek ekonomi negara dapat diagihkan secara adil antara kaum. Inilah prinsip dan semangat DEB yang sepatutnya dikekalkan dalam semua penggubalan dasar ekonomi dan pembangunan.
PUTRA tegas memperjuangkan dan mempertahankan dasar affirmative atau campur tangan kerajaan bagi menentukan keadilan pembahagian kekayaan ekonomi negara dan BUKAN setakat dasar affirmative membantu golongan miskin tanpa mengira kaum (need based policy regadless of race) sahaja. Dasar Kesamaratan mestilah adil dalam pembahagian kek ekonomi di semua peringkat dan bidang.
Hak Keistimewaan Orang Melayu dalam Perlembagaan Negara memberi ruang kepada kerajaan sewajibnya campur tangan dengan meneruskan tindakan affirmative untuk kaum Bumiputera. Mengabaikan dasar ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan serta Perjanjian Sosial kontrak yang dipersetujui.
PUTRA PERKASA NEGARA
Terima Kasih.
Izhar Kahar
Pengerusi
Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera PUTRA merangkap Ahli Dewan Tertinggi PUTRA
4 Ogos 2019