Pada tahun lepas iaitu bulan Julai 2018 apabila kerajaan memperkenalkan semula SST, saya telah menganggarkan bahawa kelompongan belanjawan kerajaan akibat SST adalah lebih daripada RM10 billion.
Pada ketika itu tidak banyak orang yang percaya apa yang saya kata.
Kini ternyata kelompongan ini adalah lebih besar daripada itu iaitu melebihi RM20 billion.
Beberapa bulan selepas itu iaitu pada bulan Januari 2019 apabila kerajaan mula menjual dan melelong aset negara, saya telah menulis bahawa kerajaan tidak perlu menjual aset untuk memulihkan ekonomi kerana antara sebab utama ekonomi merudum adalah bukan kerana prestasi aset atau hutang negara tetapi kerana keputusan mereka (PH) untuk membatalkan GST dan memperkenalkan kembali SST.
Pada ketika itu saya telah mencadangkan jalan penyelesaian iaitu supaya kerajaan mengembalikan GST jika mereka serius ingin memulihkan ekonomi negara.
Kini setelah sepuluh bulan dan hampir setahun, keadaan ekonomi telah hampir ranap dan aset-aset telah banyak terjual barulah pakar-pakar ekonomi yang menyokong PH ini nampaknya baru sedar apa yang berlaku.
Saya kini adalah seorang ahli politik sepenuh masa dan sebagai ahli politik pembangkang sebenarnya mungkin adalah lebih elok jika saya biarkan sahaja ekonomi terus merudum dan rakyat semakin membenci kerajaan.
Namun saya tidak sanggup melihat ekonomi menjadi semakin teruk akibat ketidakcekapan kerajaan PH sekarang dan kealpaan menteri-menteri mereka kerana setiap hari ini berlaku setiap hari rakyat sengsara.
Setiap 1% penurunan kadar pertumbuhan ekonomi, lebih 100 ribu orang akan hilang peluang pekerjaan.
Kini kadar pertumbuhan ekonomi telah menurun 2% berbanding semasa Kerajaan BN memerintah dulu.
Kadar pengangguran juga telah meningkat terutama kepada golongan belia.
Di Amerika Syarikat, setiap 1% kadar pengangguran meningkat, 10,000 orang akan mati di jalanan.
Di Malaysia, kita tidak ada kajian untuk menunjukkan angka ini, tetapi saya pasti setiap kali kadar pertumbuhan ekonomi jatuh dan kadar pengangguran meningkat, ramai rakyat yang akan tertekan dan terseksa.
Sementara kita menunggu menteri-menteri balik bercuti dari luar negeri dan pemimpin-pemimpin kerajaan berebut kuasa, rakyat semakin sengsara.
Semakin lama kita tunggu, semakin teruk perkara ini berlaku.
Saya tidak akan biarkan perkara ini berlaku.
Sebab itu saya nekad akan terus berjuang.
Saya harap tuan-tuan dan puan-puan akan bersama-sama saya dalam perjuangan ini.
Salam,
ISHAM JALIL
2 Oktober 2019
https://www.utusan.com.my/rencana/utama/pilihan-lain-sebelum-jual-aset-negara-1.814893