Selepas ditegur oleh Dato’ Seri Najib kelmarin berkenaan angka-angka unjuran ekonomi dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), Menteri Ekonomi Azmin Ali tetap tidak mahu kalah.
Semalam Azmin berkata kira-kira kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK (atau dalam bahasa mudahnya kadar pertumbuhan saiz ekonomi negara) yang dihitungnya adalah tidak salah.
Ini katanya sebab jumlah saiz ekonomi RM3.4 trilion itu adalah angka nominal iaitu angka saiz ekonomi termasuk inflasi (kenaikan harga barang) pada sebelas tahun akan datang (2030) berbanding sekarang.
Namun katanya lagi kadar pertumbuhan saiz ekonomi untuk mencapai saiz ekonomi RM3.4 trilion tersebut iaitu 4.7% setahun adalah kadar real (malar) atau angka yang tidak termasuk inflasi pula.
Bossku Najib Razak berkata untuk mencapai RM3.4 trilion pada tahun 2030, kita perlukan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.36%.
Bossku Najib adalah seorang economist.
Saya juga seorang economist dan dulu saya belajar ekonomi di universiti yang bertauliah di luar negeri.
Saya juga pernah bekerja di Unit Perancang Ekonomi dan pernah terlibat dalam perangkaan dan penyediaan Bajet tahunan negara, Rancangan Malaysia ke-10 dan dasar-dasar jangka panjang negara.
Dalam hal ini saya bersetuju dengan Bossku.
Pakar-pakar ekonomi di Malaysia Institute of Economic Research (MIER) juga setuju dengan Bossku, mereka kata kita perlukan kadar pertumbuhan 7-8% setahun untuk mencapai saiz ekonomi RM3.4 trilion, bukannya 4.7% seperti yang Azmin kata.
Oleh itu alasan Azmin di atas untuk menutup kemaluannya tidak boleh diterima.
Sebab tidak ada orang atau ahli ekonomi yang waras yang akan buat kira-kira unjuran saiz ekonomi dalam angka nominal (termasuk inflasi) tetapi menggunakan kadar pertumbuhan real (tidak termasuk inflasi).
Jika ingin buat unjuran saiz ekonomi nominal iaitu termasuk inflasi, guna kadar pertumbuhan nominal juga.
Dan jika ingin buat unjuran saiz ekonomi real iaitu tidak termasuk inflasi, gunalah kadar pertumbuhan real juga.
Dan bila hendak nyatakan angka-angka saiz ekonomi dan kadar pertumbuhannya dalam dokumen rasmi kerajaan terutama yang melibatkan unjuran jangka panjang, kedua-dua angka tersebut perlu konsisten sama ada kedua-duanya berdasarkan kiraan nominal (termasuk inflasi) atau kedua-duanya berdasarkan kiraan real (tidak termasuk inflasi).
Jika kenyataan dikeluarkan seperti dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kelmarin dengan unjuran saiz ekonomi berdasarkan angka nominal iaitu termasuk inflasi, manakala angka kadar pertumbuhan saiz ekonomi pula berdasarkan angka real yang tidak termasuk inflasi, ia tidak masuk akal dan hanya akan mengelirukan rakyat, pasaran dan pelabur.
Lebih teruk lagi jika pelabur dan pasaran lihat seolah-olah kerajaan cuba memanipulasi data ekonomi dan mengelirukan mereka seperti yang kerajaan PH buat dengan kenyataan hutang negara yang kononnya RM1 trilion dahulu.
Inilah salah satu sebab mengapa pelabur-pelabur hilang keyakinan dan lari keluar dari Malaysia dengan pelaburan mereka apabila PH memerintah.
Satu perkara lagi, unjuran saiz ekonomi jangka panjang yang melibatkan tempoh masa satu dekad ke hadapan biasanya dibuat berdasarkan angka real iaitu tidak termasuk inflasi.
Ini kerana tidak ada ahli ekonomi yang berani menganggar secara betul (atau hampir betul) kadar inflasi setiap tahun sehingga sepuluh tahun akan datang sebab inflasi akan naik turun setiap tahun dan ada kalanya negatif (deflasi) atau tunggang terbalik (e.g. stagflasi).
Di Amerika Syarikat di mana data-data ekonomi adalah lebih lengkap dari kebanyakan negara lain dan tatacara unjuran ekonominya yang lebih canggih, unjuran inflasi jangka panjang yang dibuat oleh kerajaan dan Bank Persekutuan Amerika (Federal Reserve Bank) pun hanya dibuat sehingga tiga tahun akan datang sahaja iaitu sampai 2022.
Tidak ada kerajaan di dunia ini yang boleh (atau berani) mengunjur inflasi untuk sebelas tahun akan datang sehingga 2030.
Saya rasa Azmin seorang sahaja Menteri Ekonomi dalam dunia ini yang mengunjur inflasi sehingga satu dekad ke hadapan.
Mengunjur inflasi untuk 10 tahun akan datang samalah seperti mengunjur pasaran saham atau harga minyak pada tahun 2030, ia tidak masuk akal, satu kerja sia-sia dan tidak bijak.
Oleh itu, kenyataan tidak mengaku salah dan tidak mahu kalah Menteri Ekonomi PH Azmin semalam tidak lain dan tidak bukan hanyalah satu cubaan untuk menegak benang yang basah.
Kepada Azmin, fokuslah. Ekonomi sedang teruk. Anda Menteri Ekonomi. Jangan hanya sibuk melancong ke sana ke mari.
Jika angka-angka asas ini pun dah salah, apa lagilah dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama itu yang tidak betul?
ISHAM JALIL
7 Oktober 2019
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/548798359209026?sfns=mo