A. Secara keseluruhannya “resolusi” yang hendak diperjuangkan pada matlamat Kongres Maruah Melayu kelmarin amat bertepatan dan menepati tuntutan yang diperjuangkan oleh kebanyakan NGOi Malaysia. Dan MUAFAKAT tidak terkecuali, malahan terlibat secara tidak langsung memberi beberapa idea dalam tuntutan khususnya pada perkara Kluster Agama.
B. Jika diteliti satu-persatu perkara tuntutan mengikut kluster mulai dari kluster budaya, kluster ekonomi, kluster pendidikan, agama dan politik, semua membentangkan tuntutan demi masa depan orang Melayu. Tuntutan ini semua selari dengan apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan perkara khusus Perkara 153 (1) kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.
C. Antara perkara yang disebut dalam tuntutan resolusi tersebut pada Kluster Agama ialah:
1. Meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan bahawa “Islam bermazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah doktrin dan kepercayaan bagi Persekutuan.”
2. Memasukkan Perkara 3(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa “Islam bermazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah satu-satunya cara hidup bernegara dan semua polisi, undang-undang dan amalan hendaklah berasaskan kepada fahaman Ahli Sunnah wal-Jamaáh.
3. Jawatan utama kepimpinan negara dan negeri, iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta kementerian penting seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam serta beraliran Ahli Sunnah wal-Jamaah. Begitu jugalah jawatan penting lain seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah digalas oleh Muslim beraliran Ahli Sunnah wal-Jamaah.
4. Menteri yang dilantik bagi menjaga hal ehwal agama Islam dan Ahli Mesyuarat Negeri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama bagi negeri hendaklah dari kalangan orang Islam yang dihormati, berilmu dan menuruti fahaman Ahli Sunnah wal-Jamaah, mempunyai prestasi cemerlang serta tidak terpengaruh dengan doktrin/fahaman yang mengelirukan dan terpesong ataupun bersikap apologetik kepada orang bukan Islam yang tidak menghormati agama Islam serta golongan liberal agama.
5. Institusi Islam hendaklah diperkasa sehingga menjadi institusi yang cekap dan amanah serta dianggotai oleh orang Islam yang benar-benar layak serta dipantau oleh pemimpin Muslim yang dihormati dari kalangan alim ulama muktabar serta tokoh Muslim yang disegani.
6. Memartabatkan Mahkamah Syariah dengan memasukkan penubuhan dan organisasi Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh semua negeri, mempunyai hierarki sama seperti Mahkamah Sivil dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dari segi hukuman dan agama pihak-pihak. Seterusnya, kebebasan Mahkamah Syariah hendaklah dijamin oleh Undang-Undang Tubuh di negeri-negeri. Saraan Hakim di Mahkamah Syariah hendaklah juga sebagaimana dinikmati oleh Hakim Mahkamah Sivil.
7. Mendesak SUHAKAM, Majlis Peguam, NGO liberal dan badan lain agar tidak mencampuri urusan agama Islam dengan bertopengkan kepada hak asasi manusia.
8. Memastikan kepercayaan dan doktrin yang bertentangan dengan Islam termasuk liberalisme dan pluralisme agama serta sekularisme dan hedonisme disekat sepenuhnya dari disebar kepada orang Islam. Tiada kompromi lagi kepada mereka yang menghina agama Islam ataupun bagi mereka yang tidak menghormati agama Islam.
9. JAKIM hendaklah memperbetulkan konsep Rahmatan lil Alamin dan Hifz al-Din dengan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
10. Memperkukuh institusi fatwa di bawah naungan Raja-Raja menerusi Majlis Raja-Raja dengan memastikan para mufti serta Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri semuanya mencapai persetujuan sehingga dapat menyeragamkan, terutamanya fatwa-fatwa yang mempunyai kepentingan nasional.
11. Mengkaji semula dengan tujuan memperkasa pendidikan Islam pada semua peringkat; peringkat awal, menengah dan peringkat tinggi. Pendidikan Islam hendaklah memberikan pendedahan pendidikan awal kepada pelajar beragama Islam berkaitan akidah, serta pengukuhan keimanan – pendidikan Islam walaubagaimanapun bukan sahaja amalan ritual seperti solat, korban dan makanan halal tetapi pendidikan Islam hendaklah menekankan ilmu Islam yang dapat dijiwai oleh umat Islam pada semua peringkat, sama ada kanak-kanak, remaja atau belia dan dewasa.
12. Membenarkan anutan dan amalan agama lain dilakukan oleh orang bukan Islam selagi mana ia tidak menjejaskan aman dan harmoni kepada negara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak mencabar sensitiviti agama umat Islam.
13. Menyedari tentang kesyumulan Islam, kerajaan hendaklah memberi perhatian dalam memaju dan mengukuh kedudukan umat Islam bukan Melayu. Kerajaan hendaklah menyokong penubuhan masjid-masjid atau pusat-pusat komuniti beridentitikan komuniti tersebut untuk pemerkasaan agama Islam.
14. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai satu-satunya medium rasmi kerajaan serta menghapuskan istilah Bahasa Malaysia dan kembali kepada penggunaan istilah Bahasa Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
15. Memperluaskan peranan masjid sebagai pusat ukhuwah umat Islam, pusat ekonomi dan pendidikan serta sosial dengan mendekatkan golongan remaja/belia, wanita dan orang tua ke masjid.
16. Membenarkan amalan perubatan Islam diberi tempat dan ruang di Hospital Kerajaan berdasarkan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) sepertimana rawatan tradisional dan komplementari yang lain.
D. Justeru, adalah suatu kewajipan ke atas setiap umat Islam dengan berdasar kepada 16 tuntutan di atas, bersama MUAFAKAT dan Sekretariat Kongres Maruah Melayu, mendesak kepada kerajaan supaya semua yang tersebut di atas dilaksanakan bukan sekadar demi “maruah” orang Melayu tetapi bagi mengembalikan kedaulatan dan menaikkan martabat kedudukan orang Melayu, kemuliaan agama, budaya, ekonomi, pendidikan dan politik negara.
Haji Rashidi bin Haris
Naib Pengerusi UMMAH
Ketua Media MUAFAKAT