SIASAT KESELURUHAN PARTI KOMPONEN DALAM PAKATAN HARAPAN

1.9k
SHARES
4.4k
VIEWS

Siasat semua pimpinan DAP supaya bersih daripada terlibat sebarang kumpulan pengganas.

2. MUAFAKAT berasa amat bimbang dan memandang serius isu penglibatan 2 orang pemimpin tertinggi DAP yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran dan G Saminathan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang ditahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pagi tadi.

3. Dalam beberapa kenyataan media dan video ada menyebut bahawa pihak PDRM telah menahan tujuh individu termasuk dua ADUN DAP kerana ada laporan mengatakan pihak luar cuba mengaktifkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia, selepas kumpulan pengganas itu terkubur susulan kematian pengasasnya dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka 10 tahun lalu.

4. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan itu bersama lima suspek lain berada dalam pemantauan polis sejak Nov tahun lalu. Beliau berkata; Penahanan kesemua mereka dibuat dalam operasi Polis Bukit Aman, antaranya di Melaka, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan bermula pukul 9 pagi semalam.

5. Kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) selama 28 hari. “Ada pihak-pihak tertentu dari luar cuba mengaktifkan LTTE di negara ini. Kami ambil tindakan untuk tangkap kerana kami tidak mahu biarkan mereka berkembang,” kata Ayob Khan Mydin Pitchay.

6. Adun Gadek pada 28 Nov tahun lepas telah menghadiri program hari perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan LTTE dan beliau didapati mengedarkan risalah serta item-item yang berkaitan kumpulan itu ketika dalam program tersebut. Program tersebut turut dihadiri Adun Seremban Jaya di mana telah menyampaikan ucapan yang menyokong kumpulan LTTE dan mengedarkan item-item berkenaan kumpulan tersebut.

7. Di Rawang, Selangor katanya, melibatkan seorang lelaki berumuar 28, peniaga barang lusuh. Suspek merupakan penganjur majlis hari perwira LTTE di Kuala Lumpur setiap tahun. Dia juga memiliki dan mempunyai item-item berkaitan kumpulan pengganas LTTE. Suspek juga pernah disabit kesalahan mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA pada 4 Sept 2016, dan didenda RM10,000.

8. Individu keempat merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun di Kuala Lumpur, bekerja sebagai ejen insurans, disyaki merancang untuk melancarkan serangan terhadap Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur dan turut memiliki dan menyimpan item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

9. Suspek kelima, dari Sungai Siput, Perak, lelaki berusia 37 tahun, seorang pemandu teksi. Suspek pernah menyertai perjumpaan sulit di Sungai Siput untuk merekrut dan menyebarkan propaganda kumpulan pengganas LTTE di Malaysia, turut menyimpan dan memiliki item yang berkenaan dengan LTTE. Juga terlibat dalam insiden mencederakan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di KLIA pada Sept 2016 dan didenda RM10,000.

10. Suspek keenam dari Kulim, Kedah. Lelaki berusia 27 tahun, seorang juruteknik, suspek menyokong dan memiliki item-item berkaitan dengan LTTE.

11. Suspek ketujuh ditangkap di Sungai Buloh, Selangor. Lelaki berusia 57 tahun, bekerja sebagai peniaga kedai makan, suspek menyokong mempromosikan kumpulan pengganas LTTE menerusi media sosial.

12. LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

13. Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

14. LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.

15. MUAFAKAT mengucapkan tahniah dan syabas atas kecekapan pihak PDRM menghidu dan seterusnya menahan kedua ADUN yang disyaki pengganas ini untuk siasatan lanjut.

16. Maka dengan itu, MUAFAKAT mengesyorkan malah menyokong jika pihak PDRM melangkau siasatan lebih terperinci dengan meneliti setiap pimpinan DAP yang berkemungkinan juga masih terdapat saki-baki bukan hanya pengganas komunis tetapi juga kumpulan militan yang belum lagi terkenal namanya yang sedang merekrut ahli baru sebagai anggota pengganas atau mungkin kumpulan sympathiser yang mengumpul dan menghulur dana kepada kumpulan pengganas antarabangsa.

17. Sebagaimana berita ada melaporkan akan bahayanya mereka berdua yang ditahan disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam masa yang sama mereka juga secara langsung berada bersama parti politik pemerintah sekarang. Tentunya keadaan ini lagi merbahaya, kerana perbuatan salah guna kuasa boleh berlaku jika kita cuai memantau mereka ini dari awal.

18. Justeru, MUAFAKAT menyeru pihak PDRM dan juga Kementerian Dalam Negeri supaya mengambil tindakan tegas dengan menyiasat tanpa pilih bulu, termasuk parti DAP dan semua pihak yang terlibat jika ada sebarang unsur tajaan dan penglibatan dengan puak pengganas, lebih-lebih lagi pengganas antarabangsa.

19. Kumpulan pengganas LTTE bukan lagi ancaman kecil atau pinggiran dalam dunia tetapi ianya merupakan ancaman keselamatan negara daripada anasir musuh. Berpolitik satu bab, berpolitik dengan mengangkat senjata satu bab yang lain yang sangat membimbangkan keselamatan orang awam khususnya rakyat Malaysia.

20. MUAFAKAT bukannya menuduh tetapi mengesyorkan pihak PDRM siasat sampai ke akar umbi bagi memastikan parti DAP bersih daripada gerombolan pengganas yang berselindung di sebalik parti tersebut, tidak terkecuali semua parti-parti lain termasuklah UMNO, PAS, PPBM, dan seterusnya daripada sebarang kegiatan militan.

Haji Rashidi bin Haris

Naib Pengerusi UMMAH

Ketua Media MUAFAKAT

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts