ADAKAH RUNDINGAN KEMERDEKAAN 1956-1957 ITU RUNDINGAN ANTARA KAUM DI TANAH MELAYU?

1.5k
SHARES
8.5k
VIEWS

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi

Penasihat Gabungan Mi’raj

Penasihat Undang-undang UniMAP

Rundingan Kemerdekaan 1956-1957 ialah satu proses perundangan untuk membentuk sebuah Persekutuan dan pengukuhan negara bangsa di Tanah Melayu.

Berbeza dengan tanggapan popular yang mendakwa negara kita merdeka daripada penjajahan hasil rundingan meja bulat di London, dokumen sejarah menunjukkan sebaliknya.

Sejarah perundangan Tanah Melayu perlu didasarkan pada perkembangan Perlembagaan yang bermula selewat-lewatnya apabila Kesultanan Melayu Melaka berkerajaan dan seawal agama Islam dianuti oleh Kerajaan Melayu di Tanah Melayu.

Prinsip ini perlu dipegang kerana Islam masih dianuti bukan sahaja oleh Raja-Raja Melayu, bahkan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan majoriti rakyat di Semenanjung Tanah Melayu khususnya dan Malaysia amnya.

Tanah Melayu khususnya wilayah-wilayah yang berada di bawah jajahan, naungan atau bersekutu di bawah Kesultanan Melayu Melaka telah meneruskan kewujudan Alam Melayu bersama-sama dengan pegangan pada agama Islam bersyariat Nabi Muhammad SAW.

Hal ini berevolusi sehingga memberi identiti baharu kepada penduduk Tanah Melayu; daripada rakyat Raja Melayu yang tidak dibatasi oleh agama kepada pengenalan orang Melayu yang disyaratkan menganuti agama Islam.

Lantaran itu, rakyat Raja Melayu yang tidak menganuti agama Islam mengekalkan etnik asal mereka tanpa ‘affiliation‘ Melayu. Inilah hakikat orang asal di Tanah Melayu sebelum kelahiran istilah ‘bangsa’ (nation) dan kewarganegaraan (citizenship).

Dalam sistem tradisional Melayu yang pada awalnya dipengaruhi ‘sinkretism’, adat tempatan merupakan cara hidup dan peraturan. Setelah agama Islam dianuti oleh Raja-Raja Melayu maka majoriti rakyat mereka menerima sama syariat Nabi Muhammad SAW lantaran itu adat tempatan terus diamalkan selagi tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam secara evolusi sebagai peraturan hidup.

Peraturan hidup itu merangkumi sistem politik, ekonomi dan sosial yang difahami sebagai adat Melayu sama ada dalam bentuk bertulis atau tidak. Manakala hukum-hakam menyentuh ibadat, warisan harta dan perkahwinan (undang-undang peribadi) lebih tampak ketara sebagai hukum Islam dalam kalangan rakyat kerana hukum-hukum itu lebih dekat dan menjadi amalan dalam masyarakat mereka.

Pada peringkat awal lagi, sistem mahkamah dalam amalan tradisional Melayu yang menguatkuasakan undang-undang Islam merangkumi Perlembagaan, jenayah dan mengadili kes-kes muamalat kekal dalam bidang kuasa sedia ada. Dalam pengadilan undang-undang peribadi pula ditadbir oleh kadi atau faqih.

Premis di atas terus berkembang sehingga timbul persepsi apabila berlaku campur tangan British hanya Mahkamah Kadi atau Syariah yang menguatkuasakan hukum-hukum Islam, sedangkan Islam ialah undang-undang watan Tanah Melayu yang mendasari sistem politik dan prinsip perundangan di Tanah Melayu.

Pada sisi ini, undang-undang yang diperkenalkan atas nasihat British yang bercanggah dengan prinsip perundangan watan bersumberkan ajaran Islam boleh dicabar. Prinsip sedemikian diakui dalam prinsip perundangan yang diputuskan oleh mahkamah-mahkamah di Tanah Melayu semasa campur tangan British malah digubal dalam enakmen bagi pemakaian undang-undang sivil ketika itu dan prinsip sama termaktub dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972).

Keadaan di atas menggambarkan beberapa asas kenegaraan di Tanah Melayu sebelum Malayan Union diperkenalkan pada 1 April 1946 yang akhirnya dibatalkan dengan Perjanjian Negeri 1948.

Perlu dinyatakan bahawa banyak peruntukan dalam Malayan Union Order in Council telah digantung seawal bulan Julai 1946, hanya beberapa bulan Malayan Union dimasyhurkan.

Perlu juga dinyatakan bahawa idea untuk menubuhkan Malayan Union tercetus akibat kegagalan British untuk menunaikan janji mereka dengan Raja-Raja Melayu, iaitu untuk melindungi Kerajaan-kerajaan Melayu daripada ancaman luar. Dalam konteks ini apabila British diusir oleh tentera Jepun.

Satu fakta yang sering diabaikan apabila membicarakan sejarah Rundingan Kemerdekaan 1956-1957, di Tanah Melayu sudah berdiri undang-undang Perlembagaan di setiap Kerajaan Negeri-negeri Melayu sebelum tahun 1948.

Bermula pada 1 Februari 1948, lahirlah undang-undang Perlembagaan dalam bentuk moden yang menerima sistem perundangan baharu tetapi masih mengekalkan prinsip kedaulatan watan sedia ada. Undang-undang Perlembagaan itu dinamakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan bagi Negeri-Negeri Melayu selain Kerajaan Terengganu.

Kerajaan Terengganu menggelarkan Perlembagaannya sebagai Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terenggganu. Sebagai rekod, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 sudah digubal dalam bentuk moden.

Sekian lama rakyat dikelirukan antara istilah Rundingan Kemerdekaan 1956-1957 dengan rundingan kaum. Kekeliruan yang berlaku meletakkan satu persepsi nakal bahawa tanpa persetujuan orang Melayu untuk membuka kewarganegaraan kepada para pendatang di Tanah Melayu maka Tanah Melayu tidak akan diberi kemerdekaan oleh British.

Lebih nakal lagi kenyataan yang mendakwa bahawa tanpa persetujuan ‘the founding fathers‘ maka Islam, sistem beraja, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan lain-lain peruntukan yang menjamin semua kedudukan tersebut tidak akan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

KENEGARAAN MALAYSIA: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan (2018) sudah menghuraikan sejarah perundangan di Tanah Melayu berasaskan pada proses perkembangan Perlembagaan sehingga penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Pada hakikatnya Rundingan Kemerdekaan yang melahirkan Laporan Reid tidak bermula di London pada tahun 1956. Rundingan Kemerdekaan itu sebenarnya ialah kemajuan proses perkembangan Perlembagaan yang berlaku selewat-lewatnya dari Kesultanan Melayu Melaka.

Apabila Malayan Union dibatalkan maka Perjanjian Negeri 1948 menjadi batu asas kepada terma-terma pembinaan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Proses rundingan yang berlaku melalui dua peringkat masa iaitu 1948 dan 1957, melibatkan lapisan-lapisan dalam dua kerangka besar. Kerangka besar itu ialah;

1. Rundingan antara Raja-Raja Melayu dengan Kerajaan British yang mewakili Negeri-negeri Selat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan interim 1948 selanjutnya Kerajaan Yang di-Pertuan Agong 1957, iaitu sebuah Persekutuan yang kuat.

Rundingan itu antara lain untuk memohon perkenan Raja-Raja untuk mendelegat sebahagian kuasa Kerajaan-kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan dan sistem kerajaan berpersekutuan yang tetap mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Hasilnya termaktublah Jadual 9 dan lain-lain peruntukan yang bersifat agihan bidang kuasa kepada Persekutuan.

2. Permohonan kaum pendatang untuk memohon kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru didapati sumpah kewarganegaraan seawal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, iaitu Borang VIII.

Sekiranya rundingan-rundingan dalam dua kerangka besar di atas tidak mencapai sepakat, pastinya Kerajaan Negeri-Negeri Melayu akan berdiri sebagai entiti bebas merdeka tanpa ikatan Persekutuan.

Pada sisi lain, mana-mana individu dalam kaum-kaum pendatang yang tidak diterima sebagai bangsa Melayu, pastinya mendiami di Tanah Melayu berstatus bukan warganegara.

Ringkasnya, rundingan yang berlaku perlu disoroti dalam dua buah kerangka besar di atas. Rundingan Kemerdekaan tidak wajar disamakan dengan rundingan antara kaum.

Hal ini kerana kedaulatan Raja-Raja Melayu sebelum dan pasca Hari Merdeka masih terpelihara.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts